MELAKA UNITED BELUM PANIK

April 14, 2022



Pemain tengah Melaka United FC, Fakhrullah Rosli menganggap pasukan tidak perlu menekan butang panik meskipun masih gagal meraih kemenangan sebaliknya percaya mereka mampu melakar kejutan dalam perlawanan seterusnya.

Melaka setakat ini telah mengalami tiga kekalahan dan satu seri sekali gus meletakkan mereka di tangga kesepuluh Liga Super 2022 selepas empat perlawanan.

Jelasnya, ketiadaan beberapa pemain import susulan masalah kecederaan termasuklah Ifedayo
Omosuyi sebelum ini menyebabkan persediaan pasukan sedikit terjejas.

Namun, Fakhrullah tetap positif walaupun mengakui tekanan semakin tinggi dalam pasukanselepas kehilangan mata dalam perlawanan sebelum ini.

“Tidak perlu panik sebab saya percaya kita masih boleh mengejar dalam aksi-aksi akan datang, dan kita pun tahu pasukan kehilangan beberapa pemain import disebabkan kecederaan.

“Sony Norde pun masih 50-50 sekarang ini, tetapi Ifedayo sudah kembali berlatih dengan pasukan jadi mungkin perubahan positif akan kita lihat dalam aksi lawan Sri Pahang Sabtu ini.

“Untuk saya sendiri, saya masih percayakan pasukan ini dan tidak mustahil kita akan mampu melakukan kejutan sekiranya pasukan terus bekerja keras walaupun dengan kedudukan pasukan sekarang ini”, katanya.

Fakhrullah yang telah memulakan kariernya di pentas Liga Super bersama Melaka sejak 2020 mengakui pasukan ini sentiasa dekat di hatinya dan mahu melihat kebangkitan semula skuad pada tahun ini.

Justeru, meskipun mereka memulakan musim 2022 dengan aksi yang kurang memuaskan, namun semangat setiap pemain tetap tinggi dalam memastikan perubahan yang lebih positif dapat diraih berbanding musim lalu.

“Saya kalau boleh nak cuba mendapatkan satu gol terlebih dahulu untuk sasaran peribadi, dan untuk pasukan pula kena cuba meraih kemenangan pertama.

“Bagi saya, pasukan inilah yang menaikkan nama saya dalam Liga Malaysia sejak saya datang daripada Liga M3, jadi saya tidak akan lupakan pengalaman di sini.

‘Sebab itu, semangat saya tetap tinggi untuk pasukan, begitu juga rakan-rakan lain untuk terus cuba memberikan yang terbaik buat Melaka”, katanya.

Melaka United akan berdepan Sri Pahang dalam aksi kelima Liga Super pada Sabtu ini di Stadium Darul Makmur.