MEDIA DISARANKAN AMBIL RTK ANTIGEN DEMI KEPENTINGAN GELEMBUNG LIGA MALAYSIA

February 28, 2021



Malaysian Football League (MFL) menyarankan barisan petugas media sukan bola sepak Malaysia supaya mengambil RTK Antigen bagi memastikan keselamatan gelembung Liga Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, pihaknya sentiasa menghargai peranan media yang turut dianggap salah satu petugas barisan hadapan dalam tempoh pandemik COVID-19 ini.

Jelasnya, MFL sentiasa mencari mekanisme terbaik untuk memastikan barisan petugas media dapat menjalankan tugas untuk membuat liputan bola sepak di peringkat domestik.

Bagaimanapun, Dato’ Ab Ghani menegaskan pihaknya selaku penganjur Liga Malaysia juga memiliki tanggungjawab tersendiri di mana bertindak memastikan gelembung bola sepak Malaysia berada dalam keadaan selamat.

“Saya ingin menyentuh beberapa perkara selepas kenyataan Presiden Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM), Datuk Jasnie Shafie terhadap tuntutan berkenaan kos RTK Antigen untuk liputan Liga Malaysia dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sejak 15 Februari 2021, Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah membenarkan program latihan berpusat kepada pasukan Liga Malaysia dengan amalan standard prosedur operasi (SOP) iaitu Home atau Camp Quarantine.

“Susulan daripada itu, pasukan-pasukan Liga Malaysia diwajibkan untuk terus kekal dalam gelembung bagi memastikan Liga Malaysia yang bakal bermula pada 5 Mac 2021 kekal bebas daripada sebarang ancaman wabak COVID-19.

“MFL selaku penganjur liga tempatan diberikan tanggungjawab untuk memastikan gelembung ini tidak dibocori selaras tuntutan SOP daripada pihak kerajaan di mana tiada pihak terkecuali dengan perintah ini termasuk Menteri.

“Bagaimanapun MFL sentiasa memahami sentimen media sukan Malaysia dan sentiasa bekerjasama bagi mendapatkan liputan daripada setiap agensi media.

“Berbekalkan SOP yang telah diedarkan kepada seluruh warga media sukan bola sepak, MFL harus mencari titik keseimbangan dalam memastikan keselamatan gelembung dan mendapat liputan media dapat dicapai bersama,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Tambah Dato’ Ab Ghani, MFL juga mengenakan peraturan wajib mengambil RTK Antigen kepada mana-mana media sahaja yang terlibat secara langsung di kawasan berhampiran dengan pasukan.

Katanya, media masih diberikan kelonggaran untuk mengadakan sesi sidang media tetapi harus mengikuti SOP ketat seperti yang telah disediakan.

Jelas lagi Dato’ Ab Ghani, keseluruhan SOP Liga Malaysia ini kemungkinan akan berlaku kelonggaran tetapi ia mengikut keadaan semasa pandemik COVID-19 serta sesi perbincangan bersama MFL dan KBS.

“Oleh sebab demikian, MFL hanya menuntut kepada media bergerak ke Field Of Play (FOP) sahaja diwajibkan mengambil RTK Antigen. Dan kebiasaannya petugas yang berada di FOP hanya jurugambar dan juruvideo sahaja.

“MFL memahami bebanan yang ditanggung petugas media dalam mengharungi pandemik COVID-19 ini, kerana itu MFL memberikan sedikit kelonggaran media yang berada di kawasan media tribune dan bilik sidang media tidak perlu menjalani ujian RTK Antigen namun dengan SOP ketat yang perlu dipatuhi. Jadi di sini, wartawan, jurugambar dan juruvideo yang tidak turun ke kawasan FOP, tidak perlu mengambil RTK Antigen.

“Jika media berdepan kekangan, MFL serta kerjasama dengan pegawai media pasukan sedia membantu kepada semua media sukan bola sepak dengan menyalurkan foto, video dan lain-lain sekiranya diperlukan.

“Pertimbangan ini dibuat bagi memudahkan tugasan petugas media dalam masa yang sama gelembung sukan dijaga.

“Justeru, MFL sentiasa memahami peranan dan kepentingan media kepada sukan bola sepak tetapi dalam masa yang sama, MFL turut berharap budi bicara daripada semua pihak berkenaan betapa pentingnya proses gelembung kepada imej Liga Malaysia.

“Akhir kata, MFL sentiasa terbuka pintu kepada mana-mana media yang berdepan masalah untuk membuat sebarang liputan bola sepak.

“Suka dimaklumkan bahawa unit produksi MFL yang terlibat secara terus di kawasan FOP juga diwajibkan mengambil RTK Antigen.

“Marilah kita bersama-sama bersatu dalam memastikan kelangsungan Liga Malaysia serta sukan-sukan lain berjalan mengikut SOP yang ditetapkan oleh MKN dan KBS,” ujarnya.