MARIO LEMOS SASAR SLOT PIALA MALAYSIA TEBUS KEKECEWAAN

July 24, 2018



Ketua Jurulatih Negeri Sembilan Mario Lemos meminta maaf kepada seluruh penyokong selepas gagal untuk mengekalkan kedudukan skuad Sang Kijang di unifi Liga Super Malaysia 2018 namun berjanji akan memberikan segalanya untuk memastikan slot terakhir unifi Piala Malaysia 2018.

Pengendali berbangsa Portugal itu menjadi ketua jurulatih ketiga Negeri Sembilan pada Mei, menggantikan Jorg Steinebrunner dan Azraai Khor Abdullah yang gagal mengubah kedudukan pasukan yang berada di tangga tercorot ketika itu.

Skuad Hobin Jang Hobin, bersama-sama Kelantan sah diturunkan ke Liga Premier Malaysia namun kedua-dua pasukan mempunyai peluang menebus kegagalan mereka musim ini dengan melayakkan diri ke unifi Piala Malaysia 2018.

""

"Kita tahu Piala Malaysia sebuah kejohanan berprestij buat seluruh pasukan di negara ini. Ini segala-galanya buat kami. Kami mempunyai posisi lebih baik daripada Kelantan untuk layak kerana kami mempunyai kelebihan jumlah jaringan," kata Mario.

"Layak ke (unifi) Piala Malaysia akan menjadi satu sumber motivasi buat kami dan kepada penyokong. Mereka mengalami tahun yang sukar dan saya ingin berikan mereka sesuatu untuk diraikan jika kita layak nanti."

Mario Lemos turut meluahkan rasa kecewanya selepas pasukannya tersingkir.

""

"Sudah tentu saya kecewa. Saya jurulatih ketiga (Negeri Sembilan) musim ini dan saya tahu ianya tugas yang sukar namun saya tetap percaya yang kita mampu kekal di unifi Liga Super Malaysia"

"Saya tidak hampa dengan pemain saya tetapi kecewa dengan diri sendiri. Mereka telah lakukan yang terbaik, kita hanya tidak mampu meraih mata yang secukupnya untuk kekal.

"Saya minta maaf menghampakan semua," tamat beliau.

Negeri Sembilan mampu menjadi pasukan terakhir untuk layak ke unifi Piala Malaysia 2018 selepas 15 pasukan telah menempatkan diri ke kejohanan edisi ke 92 itu.