MAHU JADI SEPERTI SHUKOR ADAN – MUHAMMAD

June 21, 2021



Pertahanan yang semakin meningkat naik di Terengganu FC, Muhammad Mohd Faudzi mengakui sangat mengagumi pemain veteran yang kini bersama Kuala Lumpur City FC (KL City), Shukor Adan.

Malah, dia mengharapkan mampu mengikuti apa dilakukan Shukor yang masih mampu beraksi sehingga usia 41 tahun selain mengagumi personaliti dimiliki beliau yang dianggap jarang dimiliki mana-mana pemain lain.

Tambahnya, pengalaman pernah berlatih bersama Shukor ketika di Felda United FC pada musim 2015 menjadi antara kenangan manis dalam kariernya yang tidak pernah dilupakan.

“Saya sangat suka tengok cara Shukor Adan dan kalau boleh mahu mengikut jejak langkah dia sebagai seorang pemain pertahanan tengah yang hebat serta ada karakter tersendiri sebagai seorang ketua di atas padang.

“Masa di Sekolah Sukan Bukit Jalil lagi saya sudah meminati Shukor dan selepas saya mendapat peluang menyertai skuad Piala Presiden Felda pada 2015, saya berpeluang berlatih bersama Shukor dalam pasukan utama yang ketika itu dilatih jurulatih, Irfan Bakti.

“Masa itu saya baharu berumur 19 tahun dan apabila dapat berlatih dengan pemain-pemain hebat seperti Shukor, ia satu perasaan yang tidak digambarkan dan banyak yang saya belajar darinya memandangkan dia pun seorang pemain pertahanan tengah,” katanya.

Muhamad yang lebih dikenali Amad dalam kalangan rakan sepasukan menjadi antara watak penting di kubu Terengganu FC musim ini apabila jurulatih, Nafuzi Zain sering menggandingkannya bersama Carli de Murga.

Dia mula diturunkan sejak perlawanan keenam Liga Super iaitu ketika berdepan PJ City FC dan tidak pernah terlepas peluang berada dalam kesebelasan utama sejak lapan perlawanan terakhir Terengganu FC.

Aksi paling cemerlangnya setakat ini ialah semasa membantu pasukan menewaskan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 April lalu.

Mengenai bersama Terengganu FC musim ini, Muhammad mengharapkan 2021 akan memberikan tuah buat pasukan dengan menamatkan penantian selama 10 tahun pemburuan sebarang kejuaraan di Liga Malaysia.

Menurutnya, pasukan yang dimiliki Terengganu musim ini antara yang terbaik malah keserasian sesama pemain muda menjadi pemangkin di sebalik kemampuan mereka menduduki tangga kedua Liga Super.

“Secara keseluruhan saya memang suka berada bersama Terengganu FC dengan rakan-rakan, kemudahan serta program yang dijalankan oleh pasukan malah saya nampak pasukan kali ini agak baik.

“Rugi rasanya kalau tiada piala untuk Terengganu musim ini kerana komitmen yang diberikan semua rakan seperti pemain muda cukup tinggi dalam tiap perlawanan.

“Saya pun berazam mahu terus kekalkan tempat dalam kesebelasan utama sejak mendapat kepercayaan jurulatih sejak aksi bertemu PJ City kerana persaingan untuk mendapat tempat begitu sengit, jadi saya bersyukur sangat diberikan peluang,” katanya.