LANGKAH MFL TEPAT

November 10, 2020



LANGKAH MFL TEPAT

Bekas jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah, berpandangan TM Piala Malaysia masih boleh diteruskan sambil melihat pendekatan Malaysian Football League (MFL) untuk menggunakan gelanggang pertandingan yang masih belum dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagai langkah yang tepat.

Seperti ‘alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’, Azraai berkata, setelah pusingan pertama dapat dijalankan pada minggu lalu, adalah satu kerugian membiarkan pertandingan itu terhenti di separuh jalan.

Jelasnya, ini adalah pilihan terakhir bagi memastikan Piala Malaysia tidak dibatalkan buat kali pertama sejak tahun 1947 yang pada waktu itu terkesan kerana Perang Piala Dunia ke-2.

“Bagi saya banyak pihak akan terkesan jika Piala Malaysia dibuat selepas Disember nanti terutama libatkan kontrak pemain selain soal penajaan jika cadangan Piala Malaysia terpaksa dibatalkan.

“Jadi, rayuan yang dikemukakan oleh MFL dengan menggunakan gelanggang yang tidak terlibat dengan PKPB adalah pilihan terakhir yang tinggal dan memang wajar ini sahaja dibuat bagi memastikan Piala Malaysia mampu diteruskan.

“Perlawanan sudah memasuki suku akhir dan saya rasa, lebih baik dihabiskan dan semua pasukan telah melakukan persiapan, jadi saya harap rayuan MFL itu nanti boleh dipertimbang sebaik-baiknya oleh pihak berwajib,“ katanya.

MFL telah mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar dapat mempertimbangkan semula keputusan menangguhkan saingan TM Piala Malaysia 2020 pada hari ini susulan permohonan meneruskan aksi TM Piala Malaysia ketika tempoh PKPB yang dikemukakan oleh MFL menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ditolak menerusi pengumuman oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Berdasarkan rayuan berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Dato’ Ab. Ghani Hassan berkata, MFL bersedia mengikut perancangan khas serta SOP (Prosedur Operasi Standard) yang lebih ketat termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat iaitu “quarantine based”.
Selain itu, MFL menyediakan perancangan di venue-venue berkecuali PKPB seperti Stadium Darul Makmur, Kuantan dan Stadium Sultan Mohamad Ke-IV bagi aksi suku akhir, separuh akhir dan final.

Dalam pada itu, Azraai berpandangan komitmen MFL selama ini mengikuti segala SOP yang ditetapkan oleh MKN perlu diberikan kredit dan sehingga kini, masih belum ada kes berpunca daripada perlawanan-perlawanan membabitkan saingan Liga Malaysia.

Tambahnya, adalah sesuatu yang tidak adil jika Piala Malaysia terpaksa dihentikan memandangkan MFL telah bekerja keras cuba memastikan penularan wabak COVID-19 tidak terjadi dalam kalangan pemain yang terlibat dalam saingan di Liga Malaysia.

“Sehingga kini kita tidak pernah dengar pula kluster pemain atau kluster stadium dan sebagainya kerana sepanjang saingan sebelum ini dan usaha MFL harus kita puji dalam mematuhi segala SOP yang disediakan.

“Jadi, saya rasa kenapa aksi Liga Malaysia perlu dihentikan kerana semuanya masih baik setakat ini malah MFL telah mengarahkan semua pasukan ikuti segala SOP yang telah ditetapkan,“ katanya.

#TMPialaMalaysia2020