KUALITI PADANG STADIUM MBPJ AKAN LEBIH BAIK

June 1, 2021



Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berharap padang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang sedang dibaik pulih dapat meningkatkan tahap kualiti pemain sebaik sahaja Liga Malaysia kembali bersambung.

Ini berikutan padang di stadium berkenaan yang terjejas teruk terutamanya ketika hujan lebat sekali gus mendapat kritikan berhubung kualiti gelanggang rasmi pasukan itu sepanjang perlawanan berlangsung.

Menurut Dr. Johan, kerjasama dengan pihak MBPJ berjalan lancar ketika ini untuk mereka menaik taraf padang itu termasuklah memperbaiki saluran air yang sering menjadi punca kepada keadaan padang yang becak.

Selepas separuh musim bergelut dengan keadaan padang yang kurang memuaskan, Dr. Johan positif pasukan tidak lagi akan berdepan dengan situasi sama sekali gus dapat mempersembahkan kualiti perlawanan yang lebih memuaskan berbanding sebelum ini.

“Kami mengambil peluang masa rehat yang ada ini untuk Selangor FC dengan kerjasama bersama MBPJ menaik taraf padang itu dengan pemasangan sistem saliran bawah tanah untuk memperbaiki saluran air supaya kalau hujan, tanah di padang tidak akan menjadi begitu lembut dan permukaan padang juga tidak akan rosak.

“Kita harapkan sekurang-kurangnya pemasangan sistem saliran itu akan siap sebelum liga bersambung tetapi yang lain-lain mungkin akan mengambil sedikit masa lagi dalam tempoh beberapa bulan untuk betul-betul sempurna sepenuhnya.

“Saya percaya selepas ini padang akan lebih berkualiti bagi memberi manfaat kepada semua pasukan selain dapat juga meningkatkan kualiti liga selepas ini”, jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Johan menjelaskan Selangor FC tidak berdepan masalah untuk mempersiapkan latihan pasukan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi Camp-Based Training dan mereka dijangka akan mula berkampung pada minggu hadapan.

Dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh Malaysian Football League (MFL), Johan percaya sesi latihan pasukan tidak akan terjejas apabila telah mendapat kebenaran daripada pihak Kerajaan Malaysia untuk terus berlatih ketika “total lockdown” Fasa Pertama ini sehingga 14 Jun 2021.

“Kalau tiada halangan, pasukan akan mula berlatih pada minggu hadapan dan mereka akan berkampung di hotel di Shah Alam menerusi Camp-Based Training ini.

“Bagi saya, selagi kita sentiasa mengikuti setiap SOP yang telah dikeluarkan, tiada masalah akan timbul dan kami akan melakukan yang terbaik supaya dapat elak benda-benda yang tidak diingini.

“Sekarang ini, tidak mengapa tidak dapat adakan aksi persahabatan, yang penting latihan diteruskan dan saya yakin selepas PKP berakhir, perlawanan persahabatan dapat dibuat juga sebelum sepak mula bersambung”, tambahnya.

Terdahulu, Selangor FC ketika ini menduduki tangga kelima saingan Liga Super 2021 selepas berakhir 13 perlawanan sebelum Liga Malaysia berehat sehingga Julai depan bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan.