KUALA LUMPUR MAHU DIANGGAP ‘UNDERDOG’

November 11, 2021



Layak sebagai juara Kumpulan A selain mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang saingan TM Piala Malaysia 2021, tidak membuatkan ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak lena dibuai mimpi apabila berdepan Selangor FC pada saingan suku akhir.

Sebaliknya beliau meletakkan KL City sebagai underdog dengan meletakkan Selangor yang punyai banyak kelebihan menjelang suku akhir pertama, Ahad ini.

Tambahnya, KL City masih sebuah pasukan yang baharu untuk bangkit dalam kancah Liga Malaysia dan tidak mahu memberikan tekanan kepada pemain-pemain selepas berjaya layak ke suku akhir.

“Kami bukan pasukan pilihan untuk menang dengan Selangor biarpun ramai melihat prestasi KL City cukup baik setakat ini di saingan TM Piala Malaysia.

“Selangor ada kelebihan dari segi pilihan pemain kerana mempunyai Reserve Team berbanding dengan KL City yang punyai sebuah skuad yang kecil.

“Berdasarkan rekod pertemuan KL City dan Selangor sepanjang musim ini termasuk satu perlawanan persahabatan, ketiga-tiganya berakhir keputusan seri.

“Jadi ini bermakna sudah pasti perlawanan akan sengit membabitkan kedua-dua pasukan pada pentas suku akhir dan sesiapa boleh memenangi perlawanan itu nanti,” katanya.

KL City menamatkan saingan Kumpulan A dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Sri Pahang FC melalui Zhafri Yahya pada minit-84 apabila menerima hantaran lambung dari Paulo Josue sekaligus mencipta empat kemenangan dari enam perlawanan.

Dalam pada itu, Hodak merehatkan sebahagian besar pemain utama termasuk penjaring terbanyak TM Piala Malaysia, Romel Morales selain Paulo Josue dan Daniel Ting yang hanya dimasukkan di pertengahan separuh masa kedua.

Sementara itu, Terengganu FC juga melengkapkan saingan dalam Kumpulan B tanpa sebarang kekalahan apabila diikat seri 1-1 oleh Kuching City FC di Stadium Negeri.

Rahmat Makasuf meletakkan Terengganu di hadapan pada minit 19 namun Yuta Suzuki menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit-46.

Skuad kendalian Nafuzi Zain ini dijadualkan bertemu naib juara Kumpulan A, Sarawak United FC yang tewas 1-2 kepada Penang FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

“Kami berikan peluang kepada pemain-pemain muda untuk beraksi dalam perlawanan ini bagi tujuan pendedahan selain mereka yang kurang mendapat minit permainan.

“Bukan mudah meraih keputusan seri ini dengan Kuching City memandangkan majoriti dalam skuad ialah pemain muda dan sudah pasti di suku akhir, kami akan menurunkan skuad terbaik yang kami ada,” katanya.