KEPUTUSAN RAYUAN TUJUH PASUKAN

May 2, 2019



Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan keputusan rayuan tujuh pasukan yang dikenakan hukuman susulan kegagalan pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018.

Pasukan berkenaan adalah wakil dari Liga Super iaitu Kuala Lumpur, Felda United FC dan Melaka manakala Kelantan, PDRM, Sarawak dan Pulau Pinang yang beraksi dalam saingan Liga Premier.

Terdahulu, ketujuh pasukan tersebut telah dikenakan tindakan pemotongan sebanyak 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 di atas kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan musim ini dan diberikan tempoh kemukakan rayuan tujuh hari sehingga Selasa lalu.

Denda pemotongan geran ke atas Kuala Lumpur, Felda United FC, PDRM dan Pulau Pinang dikurangkan sebanyak 5 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 manakala Melaka, Sarawak dan Kelantan dikurangkan sebanyak 10 peratus.

Keputusan pengurangan 5 peratus  itu dibuat menerusi penilaian Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas pasukan-pasukan terbabit menyerahkan bukti pembayaran hutang, pelan pembayaran hutang tertunggak, pelan kewangan perbelanjaan dan pendapatan terperinci pada musim 2019.
  
Manakala denda pemotongan jumlah geran ke atas Melaka, Sarawak dan Kelantan pula dikurangkan sebanyak 10 peratus. Ini kerana pasukan-pasukan terbabit masih belum melengkapkan surat pengesahan daripada Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Selain itu, ada di antara pasukan terbabit tidak menyerahkan pelan pembayaran tunggakan hutang dan bajet tahunan 2019.

Tahun lalu 10 pasukan dikenakan pemotongan jumlah geran antara 17 hingga 30 peratus daripada 50 peratus selepas rayuan dibuat.

Bagaimanapun keputusan pemotongan denda jumlah geran kali ini lebih rendah berbanding musim lalu dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL disebabkan faktor peralihan pucuk kepimpinan pengurusan yang mahu melakukan penstrukturan semula pasukan.

Bagaimanapun jika pasukan-pasukan terbabit masih mengulangi kesalahan yang sama pada musim depan, Ahli Lembaga Pengarah MFL akan mengenakan denda lebih tegas seperti hukuman yang dikenakan terhadap 10 pasukan pada tahun 2018.

Dalam perkembangan sama, MFL menjelaskan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua musim 2019 bermula hari ini sehingga 29 Mei depan terhadap Sarawak dan Kelantan dikekalkan di mana kedua-dua pasukan terbabit mengulangi kesalahan kali kedua berturut-turut.

Bagaimanapun Ahli Lembaga Pengarah MFL menerima rayuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan PDRM yang sebelum ini turut dikenakan denda sekatan perpindahan pemain selepas pasukan terbabit telah menyelesaikan sebahagian tunggakan hutang serta menyediakan pelan pembayaran tunggakan hutang. 

Tiga pasukan ini juga tidak dikenakan hukuman pemotongan tiga mata selepas mereka telah mengemukakan dokumen yang menunjukkan kestabilan kewangan, jumlah pendapatan pasukan bagi musim 2019, bukti serta dokumen jumlah tunggakan hutang yang telah diselesaikan.

Manakala denda pemotongan sebanyak tiga mata akan diaktifkan ke atas Melaka, Sarawak dan Kelantan sekiranya dokumen-dokumen tertentu masih tidak diserahkan sebelum atau pada 22 Mei depan.