KEPUTUSAN MFL DAPAT DITERIMA

February 13, 2021



Kelab-kelab Liga Malaysia memberikan response positif berhubung keputusan Malaysian Football League (MFL) untuk memulakan saingan liga pada 5 Mac ini selain memahami sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Melalui apa yang telah dibentangkan dalam satu sesi taklimat yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dato’ Ab Ghani Hassan pada Rabu, rata-rata mereka telah memberikan persetujuan terhadap keperluan mengadakan Liga Malaysia dalam tempoh hampir tiga minggu sebaik kebenaran latihan diberikan pada 15 Februari ini.

Menurut CEO Kedah Darul Aman (KDA) FC, Khamal Idris Ali, pihaknya menerima keputusan MFL untuk memulakan perlawanan Liga Malaysia pada 5 Mac selepas mendengar kekangan yang terpaksa dihadapi badan penganjur liga itu demi memastikan semua aksi Liga Malaysia dapat dihabiskan pada musim ini.

Beliau juga memahami beberapa keperluan lain seperti persiapan pasukan kebangsaan selain tarikh kalendar perlawanan antarabangsa yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“KDA FC menerima keputusan MFL ini dan boleh menerima situasi yang dihadapi oleh MFL ekoran beberapa halangan tertentu yang tidak dapat dielakkan.

“Melihat beberapa faktor tertentu seperti pasukan kebangsaan juga perlukan ruang untuk membuat persiapan, kami perlu juga memahami atas kepentingan negara serta mengikut suara majoriti lain yang turut bersetuju.

“Kalau diikutkan, kerajaan dah bagi kebenaran untuk kami bagi latihan dan adakan perlawanan pun, dah cukup satu berita yang menggembirakan dalam keadaan sekarang.

“Dalam situasi terkini, pasukan memang tiada pilihan dengan terpaksa kreatif mungkin menggunakan ruang yang ada untuk lakukan persediaan biarpun dalam tempoh yang singkat.

“Saya juga gembira dengan pendekatan MFL pada masa sekarang yang akan bertanyakan semua CEO atau wakil pasukan terlebih dahulu jika ada masalah atau mahu membuat keputusan penting seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan FC, Norizam Tukiman menganggap saingan Liga Malaysia musim ini tidak perlu ditangguh lebih lama lagi dan bersyukur sekurang-kurangnya ia tidak dibatalkan terus khususnya dalam situasi pandemik COVID-19 yang tidak menentu ini.

Jelas Norizam, pasukannya sedar dengan tempoh masa yang agak terhad untuk berlatih, tetapi mereka akan mencari jalan terbaik bagi memastikan persiapan semua pemain berjalan dengan lancar seterusnya bersedia untuk memulakan perlawanan Liga Premier pada musim ini.

“Saya menyambut baik dengan keputusan yang dibuat oleh MFL untuk memulakan liga pada 5 Mac, dan kita di Kelantan FC akan cuba gunakan baki beberapa minggu ni untuk buat persiapan dengan baik.

“Ini kerana pada saya kalau MKN sudah beri kebenaran dan MFL pun dah kata boleh, kita teruskan sahajalah, jadi mahu atau tidak, kita perlu bersedia juga memandangkan tempoh masa itu sudah ada.

“Mungkin kalau kita tengok daripada segi tempoh persiapan agak suntuk sedikit, tetapi yang penting kita sudah jelas di sini bahawa sukan bola sepak boleh berlangsung juga.

“Jadi kalau dah ditetapkan 5 Mac, dan pasukan ada masa tiga minggu, kita buat sahajalah daripada ditangguh lebih lama dan dibatalkan terus, bukankah lagi teruk,” jelasnya.

Manakala Pengurus Besar Negeri Sembilan FC, Firdaus Bhari, berkata jurulatih kecergasan pasukan itu sudah ada perancangan tertentu untuk memastikan pemain mampu berada di tahap terbaik sebelum sepak mula, 5 Mac ini.

Tambahnya, melalui pemantauan serta latihan yang tidak terlalu berat buat pemain, beliau yakin masalah kecederaan pemain dapat dielakkan sebelum kempen Liga Malaysia berlangsung.

“Kita juga telah mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan jurulatih kecergasan dan doktor pasukan mengenai perkara ini memandangkan tempoh latihan yang singkat.

“Namun melalui nasihat serta pemantauan jurulatih kecergasan dan doktor, pemain mampu berada di tahap kecergasan terbaik untuk bermain nanti dan tiada sebarang kecederaan serius semasa latihan sebelum saingan bermula.

“Bagi Negeri Sembilan, kami menerima apa jua cadangan yang ditetapkan oleh MFL termasuk SOP diberikan agar Liga Malaysia dapat berjalan dengan lancar serta tiada perkara yang tidak diingini boleh berlaku,” katanya.