KEMERIAHAN LIGA M KEMBALI LEBIH HANGAT

April 5, 2022



Penyokong tempatan menganggap saingan Liga Malaysia akan kembali meriah selepas penyokong dibenarkan masuk ke stadium tanpa had kapisiti menerusi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang baharu.

Semestinya SOP Liga Malaysia yang baharu ini menggembirakan penyokong apabila mereka akhirnya boleh memenuhkan stadium namun tertakluk kepada penjarakan fizikal yang mengikut ruang tempat duduk dengan memakai pelitup muka.

Penyokong setia Selangor FC, Adil Hidayat Kamal menyifatkan dengan pertambahan kapisiti penyokong selepas ini secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada pasukan daripada aspek kewangan selain boleh merapatkan lagi hubungan bersama penyokong.

“Sudah tentu ini akan memberi manfaat kepada semua terutamanya pasukan dan secara tidak langsung akan mewujudkan hubungan lebih erat antara pasukan dan peminat.

“Bola sepak ini seharusnya menyeronokkan dan menjadi lebih kuat dengan penyokong dan kami gembira dengan SOP baharu ini kerana peminat akhirnya akan kembali dalam kapasiti penuh.

“Selain itu, makan dan minum pun dibenarkan jadi selepas ini tiada masalah kalau ada yang tergesa-gesa nak ke stadium dan tak sempat nak makan sebab kita dah boleh makan dalam stadium seperti dulu”, katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penyokong setia bola sepak tempatan, Fadzmie Zaiman menganggap dengan kelonggaran yang telah diberikan ini membuktikan penyokong Liga Malaysia semakin matang dalam mengikuti setiap peraturan dan SOP yang ditetapkan sebelum ini.

Justeru, dia percaya penyokong semua kelab tiada masalah untuk terus mematuhi peraturan dengan baik meskipun stadium dijangka akan lebih ramai dengan kehadiran penonton berbanding sebelum ini.

“Satu pindaan yang baik terutamanya apabila makan dan minum dibenarkan, sebenarnya makan tu tak kisah sangat tetapi minum paling penting sebab agak terseksa 90 minit tanpa air dalam stadium.

“Pembukaan sepenuhnya pintu keluar masuk juga satu keputusan terbaik memandangkan kita akan menjangkakan kehadiran lebih ramai penonton, jadi tidaklah akan berasak-asak di satu pintu sahaja.

“Saya percaya ramai penyokong menantikan keputusan untuk stadium dibuka sepenuhnya ni, jadi untuk kepatuhan terhadap SOP itu tak menjadi masalah buat kita dan semua sangat teruja untuk kembali ke stadium”, katanya.

Terdahulu, Malaysian Football League telah mengumumkan beberapa pindaan SOP Liga Malaysia 2022 termasuklah penyokong di bawah umur 12 tahun dibenarkan memasuki stadium dengan syarat ditemani atau dipantau ibu bapa atau penjaga yang telah melengkapkan vaksinasi dan pengambilan suhu badan di pintu-pintu masuk tidak diwajibkan selain tandas dan surau dibenarkan beroperasi sepanjang perlawanan dengan kawalan.

Bagi memudahkan pergerakan penyokong, pintu keluar masuk stadium dibuka sepenuhnya dengan kawalan.