KELAB LIGA M3 WASPADA IMPORT LAWAN

March 22, 2022



Manjung City FC waspada ancaman pemain import Sri Pahang FC dalam pertembungan pusingan pertama Piala FA malam esok di Stadium Darul Makmur.

Pengendalinya, Rafae Isa menyifatkan Sri Pahang sememangnya pasukan yang wajar digeruni dan barisan pemain tidak boleh mengambil mudah pergerakan skuad lawan yang mampu menundukkan mereka.

Apatah lagi, pasukan ini belum berpeluang melihat corak permainan Sri Pahang apabila skuad kendalian Christophe Gamel ini juga masih belum berdepan sebarang perlawanan kompetitif disebabkan pasukan positif Covid-19.

Namun, beliau percaya semangat pasukan tidak pernah luntur untuk memastikan mereka mampu beri tentangan dan sedaya upaya cuba mengekang asakan pemain Sri Pahang.

“Kita sedar dengan kemampuan Pahang dan saya akan pastikan kami cuba melakukan yang terbaik memandangkan persiapan juga berlangsung dengan baik.

“Pahang memang pasukan yang bagus apatah lagi dengan pemain import mereka jadi memang agak susah untuk kita menguasai perlawanan.

“Tetapi saya selalu ingatkan kepada pemain bahawa tidak mustahil untuk kita menang, cuma kita belum tengok lagi macam mana mereka beraksi dan saya ingin anak buah beri lebih perhatian kepada import mereka”, jelasnya.

Selain aksi Sri Pahang dan Manjung City, satu lagi perlawanan Piala FA membabitkan PDRM FC menentang Perlis United FC akan berlangsung pada malam esok.

Ketua jurulatih Perlis United, Azizul Abidin menyifatkan penundaan perlawanan ketika skuad PDRM disahkan positif Covid-19 memberi ruang mencukupi untuk kelab Liga M3 ini melakukan persiapan lebih rapi untuk aksi Piala FA ini.

“Ya, memang perlawanan yang ditunda hari itu beri kita masa yang lebih lama untuk berlatih dan melakukan persiapan.

“Kita sedar di atas kertas, pasukan PDRM FC akan menjadi pilihan untuk memenangi perlawanan, tetapi kita tidak akan beri laluan mudah.

“Saya mahu pemain-pemain tetap berjuang sehingga habis 90 minit perlawanan dan Perlis akan cuba memberi saingan sengit untuk cuba menang lerlawanan malam esok”, katanya.

Aksi PDRM dan Manjung City akan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada malam esok, dengan siaran langsung di TV Okey dan Sukan RTM. Kedua-dua perlawanan juga akan disiarkan secara langsung di unifiTV, unifi playTV dan YouTube unifi.

Gambar: Manjung City FC