KEJOHANAN UNIFI EPIALA MALAYSIA 2021 BUKA TIRAI BERMULA 19 DISEMBER 2021

December 13, 2021



Kejohanan unifi ePiala Malaysia 2021 yang bakal berlangsung pada 19 Disember 2021 sehingga 31 Disember 2021 menjanjikan saingan lebih menarik menerusi format baharu pertandingan.

Kejohanan sukan elektronik bola sepak yang dikelolakan oleh Malaysian Football League (MFL) dengan kerjasama Gamesbond itu akan menggunakan format baharu iaitu format duo (dua pemain setiap pasukan) FIFA Ultimate Team bagi mengharungi pusingan kalah mati dua peringkat.

Malah susulan kejayaan penganjuran pada dua edisi terdahulu, unifi ePiala Malaysia kali ini bakal mencuri tumpuan dengan menawarkan habuan hadiah kemenangan terbesar bagi musim FIFA22 setakat ini iaitu hadiah keseluruhan sebanyak RM30,000.

Seramai 128 pasukan akan berentap di peringkat saringan pada 19 Disember 2021 sebelum lapan pasukan terbaik daripada peringkat itu bertemu dengan lapan pasukan jemputan unifi eMFL Liga Super 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, kejohanan ini pastinya amat dinanti-nantikan buat peminat e-sukan FIFA di seluruh negara yang sememangnya memiliki pengikut tersendiri.

“Bagi pihak MFL amat berbesar hati untuk menganjurkan Kejohanan Unifi ePiala Malaysia 2021 menerusi kerjasama penaja utama Telekom Malaysia (TM) dan juga Pusat Pakaian Hari-Hari di mana ini adalah salah satu inisiatif untuk menyemarakkan arena e-sukan tanah air yang kini semakin berkembang dan mendapat tempat khususnya generasi muda.

“Sudah pasti selepas dua edisi penganjuran, Kejohanan unifi ePiala Malaysia 2021 kali ini akan terus menghangatkan suasana bola sepak tempatan sempena sambutan ulang tahun 100 tahun Piala Malaysia,” katanya.

32 pemain daripada 16 pasukan yang layak beraksi di peringkat akhir pada 27 Disember 2021 hingga 31 Disember 2021 akan diundi bagi mewakili kelab-kelab TM Piala Malaysia 2021 musim ini iaitu juara Kuala Lumpur City FC, naib juara Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC, Selangor FC, Kedah Darul Aman FC, Melaka United FC, Sri Pahang FC, Sabah FC, PJ City FC, Penang FC, Kelantan FC, Negeri Sembilan FC, Perak FC, Sarawak United FC, Kelantan United FC dan Kuching City FC.

Semua perlawanan akan disiarkan secara langsung di Facebook MFL bermula jam 8 malam sehingga 12 tengah malam pada hari perlawanan. Berikutan langkah pencegahan pandemik COVID-19, unifi ePiala Malaysia 2021 hanya akan dimainkan secara atas talian bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

Semua peminat sukan elektronik yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut serta berminat untuk menyertai kejohanan ini boleh membuat pendaftaran di pautan http://gbgamesbond.com/gamesbond/event/tournament-event/epiala-2021/