KEDAH WASPADA ANCAMAN ADRIANO DAN SONY NORDE

September 29, 2021



Penjaga gol Kedah Darul Aman FC, Ifwat Akmal mengakui tahap keyakinannya semakin tinggi untuk terus mengawal gawang dengan lebih cemerlang di pentas TM Piala Malaysia selepas kembali diberi kepercayaan dalam kesebelasan utama.

Sejak diberi peluang kembali beraksi dalam saingan liga pada Ogos lalu, aksi Ifwat tidak mengecewakan untuk membantu pasukan meraih gelaran naib juara Liga Super pada musim ini.

Selepas menang ke atas Kelantan United FC dalam aksi pertama Kumpulan C Piala Malaysia, pemain berusia 25 tahun ini mengakui moral mereka semakin membara untuk terus mengumpul mata, tetapi ia masih belum menjamin untuk Ifwat terus kekal dalam skuad utama selain tetap bersaing hebat dengan Shahril Sa’ari.

Namun, bakal berdepan Melaka United FC pula pada malam esok, Ifwat menyifatkan dua penyerang lawan iaitu Sony Norde dan Adriano antara tonggak utama lawan yang perlu diawasi sebaik mungkin bagi memastikan gawang tidak bolos.

“Setakat ini saya bersyukur kerana berasa lebih yakin dalam setiap perlawanan berbanding sebelum ini memang ada rasa gugup sebab dah lama tak turun beraksi, tetapi sekarang semua dah baik.

“Cuma, untuk lawan Melaka United pada malam esok, saya boleh katakan mereka memang kuat sebab apabila menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) tempoh hari, aksi mereka semakin baik, jadi kami memang kena hati-hati.

“Terutamanya dua penyerang (Adriano dan Norde) yang memang suka melakukan asakan pantas dan merbahaya, tetapi untuk saya, saya akan cuba sebaik mungkin untuk terus jaga gawang dengan lebih berhati-hati agar tidak bolos”, katanya.

Sementara itu, pemain tengah NSFC, R. Barathkumar menganggap gelaran selaku juara Liga Premier tidak memberi kelebihan kepada mereka untuk ambil mudah perlawanan kedua kumpulan C TM Piala Malaysia menentang Kelantan United FC, Jumaat ini.

Peluang tetap terbuka buat dua pasukan memandangkan NSFC dan Kelantan United masih kempunan tiga mata selepas masing-masing tewas dalam perlawanan pertama tempoh hari.

Jelasnya, pentas Piala Malaysia nyata berbeza daripada saingan liga dan meskipun di atas kertas skuad kendalian K. Devan dianggap sebagai pasukan pilihan, tetapi Barathkumar menjangkakan lawan mereka itu pastinya akan tampil dengan strategi yang berlainan untuk mencipta kejutan.

Apatah lagi, pemain berusia 29 tahun ini juga enggan lagi sekadar menamatkan saingan berprestij ini di peringkat kumpulan sahaja sepertimana yang pernah dia capai ketika bersama PJ City FC pada musim 2018 hingga 2020.

“Pencapaian terbaik saya untuk Piala Malaysia memang sekadar di peringkat kumpulan sahaja, sebab itu saya harap untuk musim ini, kami mampu fokus untuk ke suku akhir terlebih dahulu.

“Piala Malaysia ini ibarat titik permulaan yang penting untuk karier sebenarnya, jadi kita akan cuba sebaik mungkin untuk tidak lagi tercicir mata.

“Kita tidak boleh ambil mudah sebab kita tidak tahu sejauh mana kekuatan lawan sekarang ini, dan Negeri Sembilan pun dah tutup fasa kemenangan dalam Liga Premier, jadi sekarang pasukan kena fokus Piala Malaysia dan fikirkan cara terbaik untuk tewaskan Kelantan United nanti”, jelasnya.

Empat perlawanan akan berlangsung terlebih dahulu pada malam ini membabitkan pasukan di Kumpulan A iaitu Sarawak United FC menentang Sri Pahang FC dan Penang FC berdepan Kuala Lumpur City FC.

Manakala bagi Kumpulan B, Terengganu FC menerima kunjungan Selangor FC dan Kuching City FC pula akan menentang Perak FC.