KBS SAMBUT BAIK LANGKAH PROAKTIF FAM MFL TUNDA AKSI DOMESTIK

March 17, 2020



Malaysian Football League (MFL) bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melakukan kunjungan hormat secara rasmi ke atas Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Dalam kunjungan hormat itu, Presiden MFL merangkap FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin bersama Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato' Ab Ghani Hassan mengambil kesempatan untuk memberikan taklimat ringkas kepada Dato'Sri Reezal berhubung peranan MFL dalam bola sepak tempatan.

Datuk Haji Hamidin diiringi oleh dua timbalan beliau, Dato’ Sri Subahan Kamal dan Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi serta naib presiden, Dato’ Ab Ghani Hassan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MFL serta Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam dalam sesi kunjungan hormat tersebut.

Isu wabak COVID-19 turut dibincangkan bersama Dato' Sri Reezal di mana Dato' Ab Ghani mendedahkan KBS telah memuji tindakan pantas FAM dan MFL yang bertindak untuk menunda semua perlawanan liga domestik sehingga tarikh yang ditetapkan susulan wabak COVID-19 sejajar keputusan Kerajaan Persekutuan berhubung perintah kawalan pergerakan dari 18 hingga 31 Mac.

"KBS telah memuji tindakan FAM dan MFL yang bertindak proaktif untuk menunda perlawanan awal sebelum keputusan Kerajaan Persekutuan yang telah mengumumkan perintah kawalan pergerakan bermula dari 18 sehingga 31 Mac ini.

"Apa yang pasti, FAM dan MFL berharap dengan kerjasama teguh bersama KBS dapat bersama-sama mengharungi detik sukar di mana pihak kami berharap wabak COVID-19 ini dapat diakhiri sekali gus semua peminat dapat kembali menikmati suasana bola sepak di negara ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, Dato' Ab Ghani mendedahkan peranan MFL sebagai pengendali Liga Malaysia dalam kalendar bola sepak negara selain membincangkan isu serius seperti COVID-19.

"Rombongan FAM dan MFL ini adalah insiatif daripada Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin dan juga disambut baik oleh Datuk Sri Reezal.

"Tujuan kedatangan MFL untuk menerangkan serba sedikit tentang apakah peranan MFL di dalam bola sepak negara dan menerangkan peranan sebagai pengendali Liga Malaysia di mana MFL turut menerangan peranan setiap unit masing-masing dalam usaha bukan sahaja menguruskan perjalanan Liga Super dan Premier sebaliknya turut menguruskan kejohanan lain seperti e-sukan iaitu e-MFL dan lain-lain,” katanya.