JURULATIH BERI SOKONGAN PERUBAHAN JADUAL UNTUK JDT RAI KEJUARAAN LIGA

July 12, 2018



Beberapa ketua jurulatih unifi Liga Super Malaysia 2018 telah memberikan pendapat beliau berkenaan perubahan jadual perlawanan liga yang berlaku untuk memberikan ruang kepada para penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) hadir ke Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos meraikan kejayaan meraih kejuaaran bersama pasukan mereka.

Sebelum ini juara liga itu dijadualkan untuk meraikan kejayaan mereka selepas perlawanan menentang Kelantan pada hari Selasa, 17 Julai 2018, walaubagaimanapun, kebanyakan penyokong Harimau Selatan telah meminta untuk mengubah jadual perlawanan kepada hari Jumaat depan untuk memberikan peluang kepada lebih ramai penyokong mampu hadir ke stadium dan meraikan kejayaan bersama pasukan ketika hari bukan bekerja pada Sabtu berbanding hari Rabu.

Perubahan ini bakal menyaksikan empat perlawanan liga akan dipinda (lima pasukan terlibat).

Daripada empat perlawanan tersebut, dua perubahan perlawanan akan akan membabitkan perlawanan PKNP FC. Berdasarkan jadual liga, dua daripada perlawanan liga mereka menentang JDT dan Selangor (sebelum ini; 21 Julai dan 24 Julai) telah diubah kepada 23 Julai dan 26 Julai.

“Saya kagum dengan pencapaian mereka (JDT) musim ini dan ini seharusnya dijadikan sebagai satu motivasi kepada pasukan lain,” kata ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim.

“Ini satu tindakan positif untuk membenarkan lebih ramai penyokong hadir dan meraikan kejayaan pasukan pada hari Jumaat depan.

Manakala ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh percaya penyokong berhak mendapat peluang meraikan kejayaan bersama pasukan mereka.

“Jika saya di dalam situasi yang sama saya inginkan lebih ramai penyokong untuk hadir ke Stadium,” kata beliau.

Pengendali Perak, Mehmet Durakovic turut bersependapat dengan Dollah Salleh dan percaya lebih ramai penyokong perlu hadir ke stadium nanti.

“Tahniah kepada JDT. Mereka menewaskan kami dan meraih kejuaraan di Ipoh,” beliau berkata.

“Saya percaya lebih ramai penyokong patut hadir dan maraikan kejayaan bersama pasukan mereka.

Ketua jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir merasakan ini satu perkara bagus untuk lebih ramai penyokong dapat hadir ke acara menjulang piala unifi Liga Super Malaysia 2018 tersebut.

“Mereka (JDT) berhak untuk meminta perubahan tarikh itu kerana ianya adalah untuk penyokong sendiri,” Nazliazmi berkata.

“Penyokong akan hadir dengan jumlah berpuluh ribu dan saya berpendapat ianya sesuatu yang positif jika mereka dapat melakukannya.

Ketua jurulatih Terengganu FC, Irfan Bakti pula akan menyaksikan dua perlawanan pasukannya terkesan dengan perubahan jadual ini.

“Saya tidak nafikan ini sebuah tindakan baik untuk memberikan penyokong hadir ke Larkin dan meraikkan kejayaan bersama pasukan,” katanya.

Akhir sekali, ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah berkata keindahan sukan bola sepak tidak akan sama tanpa penyokong disisi dan menganggap perubahan jadual tidak patut dijadikan satu isu besar.

“Kita bermain bola sepak untuk para penyokong, jadi ianya perlu untuk mengutamakan asas bola sepak itu,” kata Yusri.

“Bagi saya, perubahan jadual sangat bagus kepada pemain-pemain muda saya kerana mereka dapat mengambil pengalaman menyaksikan kejayaan JDT bersama penyokongnya dan diharapkan ini bakal menjadi pembakar semangat kepada pasukan untuk lebih berjaya pada musim akan datang.”

Skuad Harimau Selatan bakal menjulang piala kejuaraan unifi Liga Super Malaysia 2018 selepas perlawanan menentang Kelantan 20 Julai ini di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos.