JDT DAN PERAK BURU TROFI PERTAMA MUSIM 2019

February 1, 2019



JOHOR BAHRU, 1 Februari – Juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak rela rebah di laman sendiri manakala Perak tampak bersemangat untuk meneruskan rentak cemerlang selepas menjulang unifi Piala Malaysia 2018.

Itulah elemen menarik untuk disaksikan peminat kedua-dua pasukan itu apabila berentap pada perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin malam esok yang turut dikira sebagai perlawanan unifi Liga Super.

JDT turun selaku juara bertahan Piala Sultan Haji Ahmad Shah dilihat memiliki kelebihan beraksi di depan ribuan penyokong setia Harimau Selatan apatah lagi Larkin sentiasa menghadirkan gerun buat mana-mana pasukan pelawat.

Menurut pengurus pasukan JDT, Luciano Figueroa, beliau yang membantu Harimau Selatan memenangi trofi itu dengan meledak satu gol menewaskan Kedah 2-1 pada musim lalu, optimis skuad kendaliannya berada dalam motivasi terbaik dalam usaha mempertahankan kejuaraan tersebut.

Keyakinan Figueroa itu hadir selepas menyaksikan JDT mempamerkan prestasi positif sepanjang kem latihan pra-musim di Thailand bulan lalu dan beliau yakin anak buahnya cukup bersedia untuk memberikan aksi terbaik meskipun kemungkinan penyerang baru dari Brazil Diogo Luis Santo tidak dapat membuat penampilan pertama akibat masalah kecederaan.

“Kami harus tunjuk di atas padang apa yang kami lakukan sepanjang aksi pra-musim dan saya yakin kami mampu berjuang mengekalkan trofi ini kerana JDT memiliki pemain-pemain yang bagus baik tempatan mahupun asing.

“Mungkin kami tidak akan menurunkan Diogo, kerana kami tidak mahu mengambil risiko kerana kami memerlukan khidmatnya untuk mengharungi banyak lagi perlawanan musim ini, tapi saya percaya kami memiliki pemain lain yang boleh mengisi tempatnya.

“Apapun JDT berdepan tugas getir kerana Perak adalah pasukan yang cukup sukar apatah lagi mereka telah membuktikan kemampuan mereka menjadi juara Piala Malaysia 2018. Jadi sudah pasti ia akan menjadi perlawanan sukar tetapi dalam masa sama kami sudah bersedia untuk beri terbaik dan menang,” katanya dalam sidang media pra perlawanan itu di sini, hari ini.

Sementara itu Perak terdesak untuk meneruskan momentum prestasi terbaik selepas mendakap Piala Malaysia 2018 selain berusaha untuk menamatkan penantian 13 tahun meraih Piala Sultan Haji Ahmad Shah.

Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic turut mengakui pertemuan menentang JDT menjadi medan terbaik untuk menguji kebolehan anak buahnya.

Sebagai rekod, kali terakhir Perak menjulang Piala Sumbangsih ketika mereka menewaskan Selangor 4-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 2006.

“JDT berada dalam kelas tersendiri tetapi Perak juga antara pasukan terbaik di Malaysia.

“Apa yang pasti JDT memiliki rekod cukup hebat khususnya ketika bermain di laman sendiri tetapi kami tetap akan cuba yang terbaik untuk membuktikan keupayaan Perak,” katanya.

Durakovic turut berdepan masalah yang sama seperti JDT apabila kehilangan penyerang import Gilmar akibat penggantungan perlawanan namun pengendali kelahiran Australia itu percaya, ia kesempatan terbaik untuk pemain lain membuktikan keupayaan bersaing merebut posisi itu.