IRFAN BERSEDIA JIKA DIBERI PELUANG

February 21, 2022



Pertahanan tengah Kuala Lumpur City FC, Irfan Zakaria bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada Sabtu sekiranya diberi peluang apabila sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali.

Pemain berusia 27 tahun itu kini dalam fasa untuk mendapatkan kembali momentum di atas padang selepas diketepikan dalam perlawanan sejak kempen TM Piala Malaysia musim lalu sehingga terpaksa berehat sekurang-kurangnya tiga bulan untuk kembali sembuh.

Meskipun masih belum pasti dia akan diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Sabtu ini, Irfan tidak berputus asa dalam memastikan dia mampu kembali beraksi dengan lebih garang pada musim ini.

Kudratnya turut diuji dalam perlawanan persahabatan apabila diberi peluang membarisi skuad utama menentang Negeri Sembilan FC dalam kejohanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan, Khamis lalu.

 

“Alhamdulillah sekarang saya sudah boleh bermain tetapi semuanya terpulang kepada jurulatih (Bojan Hodak) sama ada beliau mahu saya berada kesebelasan utama atau di bangku simpanan terlebih dahulu untuk lawan JDT nanti.

“Cuma kalau dalam latihan, saya masih ada rasa takut-takut lagi nak berikan sepenuhnya, tetapi saya tetap berusaha untuk dapatkan balik keyakinan dan momentum supaya dapat kembali seperti sebelum ini atau mungkin lebih baik.

“Sewaktu saya selesai jalani pembedahan, saya memang letak sasaran untuk pulih sebelum liga bermula dan minggu lepas pun saya diberi peluang untuk bermain dalam kesebelasan utama ketika lawan Negeri Sembilan.

“Jadi, kali ini sekiranya ada rezeki untuk diturunkan dalam perlawanan Sumbangsih, InsyaAllah saya akan melakukan yang terbaik”, jelasnya.

Bercakap mengenai perlawanan Sumbangsih pada Sabtu ini, Irfan percaya JDT tidak akan memberi laluan mudah untuk mempertahankan kejuaraan selain misi balas dendam selepas tewas kepada Kuala Lumpur ketika final TM Piala Malaysia tahun lalu.

“Saya rasa kita semua tahu kekuatan JDT pada musim ini dan mereka mempunyai banyak kelebihan selain beraksi di laman sendiri dan dibanjiri dengan penyokong di stadium.

“Kami sebagai pemain hanya akan memberikan yang terbaik dan kalau ada rezeki untuk menang, InsyaAllah kita akan menang sekali lagi seperti tahun lepas.

“Cuma, kita kena lebih waspada kerana pastinya ini akan menjadi misi balas dendam JDT kepada Kuala Lumpur untuk mereka buru kemenangan”, tambahnya.

Kuala Lumpur selaku juara TM Piala Malaysia 2021 akan berdepan JDT yang merupakan juara Liga Super 2021 dalam saingan Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Sabtu ini.