HARIMAU KUMBANG CURI TUMPUAN MINGGU PERTAMA LIGA PREMIER 2020

March 2, 2020



Pasukan Pulau Pinang berjaya mencuri tumpuan pada minggu pertama saingan Liga Premier 2020 bermula dengan menduduki tangga teratas selepas mencatat kemenangan besar 4-2 ke atas Sarawak United FC.

Antara enam perlawanan yang telah berlangsung pada minggu lalu, skuad kendalian Manzoor Azwira itu paling menyerlah dengan kemenangan selesa untuk memimpin liga diekori pasukan yang turut membuka langkah kanan iaitu Johor Darul Ta’zim II, UKM FC, Terengganu FC II dan Kelantan United FC.

Menurut Manzoor, bukan mudah untuk mereka memungut tiga mata pada perlawanan pertama itu memandangkan mereka masih lagi dalam proses untuk mendapatkan momentum permainan.

Sudah pasti, kemenangan sulung ini menjadi petanda positif untuk skuad Harimau Kumbang memastikan prestasi pasukan terus konsisten dalam perlawanan yang akan datang dalam misi kembali ke CIMB Liga Super 2021.

“Syukur kerana pasukan berjaya mendapatkan tiga mata kerana pastinya bukan perlawanan mudah untuk aksi pertama ini. 

“Saya sendiri mahu anak buah jadikan perlawanan sulung ini sebagai medan untuk mereka mendapatkan rentak dan momentum terlebih dahulu dan saya lega sangat kerana mereka berjaya melakukannya untuk menang ke atas lawan. 

“Tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki dan saya percaya kami akan dapat buat yang lebih baik untuk perlawanan akan datang,” jelasnya. 

Pasukan lain yang turut mencuri tumpuan adalah Kelantan United FC, yang kali pertama layak ke Liga Premier musim ini, apabila menewaskan Perak II dengan keputusan 1-0.

Aksi penyerang, Fakhrul Zaman tidak mengecewakan apabila membuktikan dirinya terus menjadi sandaran kepada pasukan musim ini apabila meledak jaringan tunggal pada minit-85. 

Pengendalinya, Zahasmi Ismail berharap rentak kemenangan ini akan berterusan khususnya dalam perlawanan kedua di laman sendiri berdepan Kuching FA, Jumaat ini. 

“Alhamdulillah kita berjaya menang untuk perlawanan pertama ini di tempat lawan. 

“Tetapi sebenarnya banyak lagi aspek perlu diperbaiki seperti kawalan emosi yang lebih baik perlu dilakukan selepas ini dan kami akan perbaiki lagi untuk berdepan Kuching FA nanti,” katanya. 

Perlawanan semalam turut menyaksikan skuad Terengganu FC II menang 1-0 ke atas Selangor 2 untuk mereka menduduki kedudukan keempat liga.

Aksi pembukaan Liga Premier pada Sabtu pula membabitkan pasukan Kelantan dan Kuala Lumpur yang masing-masing meraih satu mata apabila mencatat keputusan seri 1-1 manakala Johor Darul Ta'zim II menang 3-1 ke atas Negeri Sembilan dan UKM FC pula merekod kemenangan 2-1 ke atas Kuching FA.