FORMAT BAHARU UNIFI EPIALA MALAYSIA 2021 BERI KELEBIHAN

January 3, 2022



Negeri Sembilan FC telah dinobatkan juara unifi ePiala Malaysia 2021 dalam perlawanan akhir kejohanan sukan elektronik bola sepak yang berlangsung pada Jumaat lalu menewaskan Kelantan FC dengan keputusan 2-1.

Negeri Sembilan yang diwakili oleh dua pemain e-sukan iaitu Luqman Haziq Hajiman dan Ahmad Akmal Abdul Rafil berdepan perlawanan sengit dalam aksi final sebelum akhirnya kemenangan berpihak kepada mereka di mana kejuaraan ini adalah yang kedua untuk Luqman selepas 2019.

Menerusi format baharu yang diperkenalkan iaitu format duo (dua pemain setiap pasukan), mereka menyifatkan perlawanan kali ini memberi cabaran yang berbeza di samping turut memberi kelebihan untuk saling melengkapi dalam setiap saingan bagi meraih kemenangan.

Luqman yang telah menyertai ePiala Malaysia buat musim ketiga menganggap kemenangan yang diraih bersama rakan sepasukan cukup bermakna selain memberi bayangan itu adalah penampilan terakhirnya dalam kejohanan itu.

“Perasaan memang lain apabila kita bersaing dengan format sebegini (format duo) kerana ia lebih melibatkan kepercayaan antara satu sama lain dan penting untuk memberi semangat kepada Akmal kalau dia kalah atau saya kalah.

“Bagi saya, format sebegini lebih memberi persaingan yang menarik dan kami semua sangat menikmati setiap perlawanan yang berlangsung untuk meraih kemenangan sehingga bergelar juara.

“Saya bersyukur dengan kejuaraan buat kali kedua ini dan mungkin ini adalah kejohanan ePiala Malaysia yang terakhir untuk saya kerana saya sudah ada beberapa perancangan lain untuk diri sendiri pada tahun ini”, jelasnya.

Dalam masa sama, bercakap mengenai kejohanan unifi ePiala Malaysia yang telah memasuki musim ketiga, Luqman yang pernah mencipta sejarah menjadi pemain Malaysia pertama layak ke Piala Kejohanan FIFA Ultimate Team (FUT) 2019 menganggap kejohanan dengan kerjasama Gamesbond ini semakin mendapat tempat di hati peminat e-sukan.

Sebagai pemain profesional yang telah bersaing di pelbagai kejohanan peringkat tertinggi, dia percaya kejohanan ini akan sentiasa mencuri tumpuan pada setiap musim apatah lagi dengan aura Piala Malaysia selaku kejohanan tertua Asia Tenggara.

“Secara peribadi, saya boleh katakan kejohanan ini cukup istimewa di hati saya apatah lagi saya merupakan juara sulung ketika musim 2019.

“Ia adalah inisiatif yang sangat bagus diketengahkan oleh MFL dan unifi memandangkan ia dah memasuki musim ketiga, saya percaya kejohanan ini akan menjadi semakin menarik pada musim-musim akan datang”, tambahnya.

Terdahulu, seramai 32 pemain daripada 16 pasukan telah terlibat dalam kejohanan ini di mana mereka semua mewakili kelab-kelab TM Piala Malaysia 2021 iaitu juara Kuala Lumpur City FC, naib juara Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC, Selangor FC, Kedah Darul Aman FC, Melaka United FC, Sri Pahang FC, Sabah FC, PJ City FC, Penang FC, Kelantan FC, Negeri Sembilan FC, Perak FC, Sarawak United FC, Kelantan United FC dan Kuching City FC.