FAM DAN MFL TANGGUH SEMUA KEJOHANAN

March 13, 2020



Semua kejohanan di bawah kelolaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) ditangguhkan bermula Isnin depan susulan penularan wabak COVID-19.

Perkara itu telah disahkan oleh Presiden FAM dan MFL, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dalam satu mesyuarat khas yang turut dihadiri Rakan Kongsi Liga, wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Institut Sukan Negara (ISN) dan penaja.

Walaubagaimanapun, perlawanan pada minggu ini yang melibatkan CIMB Liga Super, Liga Premier, Liga M3, M4, Piala Belia dan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) akan tetap berlangsung terlebih dahulu tanpa penonton.

Dan seterusnya berkuatkuasa Isnin depan (16 Mac 2020), semua perlawanan berkenaan termasuklah saingan Shopee Piala FA dan Piala Presiden ditangguhkan sehingga ke satu tarikh baharu yang akan diputuskan kemudian.

“Pihak kami begitu prihatin mengenai isu COVID-19 ini dan kami telah pun mengadakan mesyuarat khas yang turut dihadiri oleh pihak KKM, ISN, wakil-wakil penaja dan rakan kongsi liga bagi membuat satu keputusan bersama antara FAM dan MFL. 

“Saya nak jelaskan bahawa keputusan yang diambil ini adalah untuk kebaikan pemain, pegawai pasukan, jurulatih, penyokong dan semua yang terlibat.

“Dan bermula Isnin depan, semua kejohanan ditangguhkan sehinggalah satu keputusan baharu dibuat atau keadaan beransur baik selepas mendapat nasihat daripada pihak KKM untuk kita mulakan balik saingan,” jelasnya.

Tambah Datuk Hamidin, keputusan untuk meneruskan juga baki perlawanan sehingga hari Ahad ini adalah selepas mengambil kira persiapan semua pasukan dan juga maklum balas yang diterima daripada Rakan Kongsi Liga untuk bersetuju meneruskan perlawanan pada minggu ini tanpa penonton. 

Untuk itu, bagi pasukan yang akan beraksi pada minggu ini perlu mematuhi langkah pencegahan di stadium termasuklah melakukan saringan menggunakan alat pengesan suhu badan dan mewajibkan penggunaan pencuci tangan.

“Sebelum kita buat keputusan untuk meneruskan perlawanan pada minggu ini, kita telah mendapatkan reaksi daripada semua pasukan dahulu di mana mereka juga sudah melakukan persediaan daripada awal dan oleh sebab itu, kami mengambil langkah agar semua perlawanan berlangsung tanpa penonton.

“Ini termasuklah juga panggilan untuk skuad kebangsaan yang dibatalkan buat masa sekarang sehinggalah kes COVID-19 ini berkurang dan kita akan mengambil kira nasihat daripada KKM dari masa ke semasa”, tambahnya.

Sebanyak lima perlawanan CIMB Liga Super 2020 akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini manakala enam perlawanan bagi saingan Liga Premier.

Satu perlawanan Liga Premier melibatkan pertembungan antara Terengganu FC II dan Kelantan akan berlangsung terlebih dahulu pada malam ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.