FAIZAL ANGGAP PILIHAN TEPAT BERHIJRAH KE SRI PAHANG FC

January 7, 2022



Pertahanan baharu Sri Pahang FC, Muhammad Faizal Mohd Arif menyifatkan penghijrahannya ke Pahang musim ini sebagai titik permulaan dalam karier bola sepak selepas enam musim bersama UiTM FC.

Faizal yang bermula daripada Liga IPT bersama UiTM sehinggalah mereka mampu beraksi di pentas Liga Super percaya keputusan yang dibuat untuk bersama Sri Pahang adalah tepat untuknya mengembangkan lagi prestasi di tahap yang lebih tinggi.

Enggan meletakkan sasaran yang terlalu tinggi buat diri sendiri sebaliknya pemain berusia 27 tahun ini hanya mahu mencuri tempat dalam kesebelasan utama terlebih dahulu kerana sedar Pahang mempunyai ramai pemain lain yang berkualiti.

Justeru, sekiranya dia mampu menjadi pilihan utama dalam skuad, nyata ia akan menjadi permulaan yang cukup baik untuknya mencipta nama bersama pasukan baharu.

“Bagi saya, ini adalah satu cabaran juga kerana sebelum ini belum pernah keluar daripada UiTM dan saya rasa sebelum saya ingin tamatkan karier, saya perlukan cabaran seperti ini sebagai kenangan.

“Pahang adalah satu pasukan yang cemerlang, jadi saya harap dengan penghijrahan ini mampu untuk meningkatkan prestasi selain saya juga ingin memberi sesuatu kepada pasukan ini.

“Cuma, sasaran awal adalah untuk memastikan saya dapat menyesuaikan diri secepat mungkin dan paling penting saya ingin bermain terlebih dahulu, dan saya percaya selepas itu barulah perkara-perkara lain akan menyusul”, jelasnya.

Dalam masa sama, Faizal tidak akan pernah melupakan pengalaman berharga bersama UiTM FC sejak 2016 sehingga berjaya menjadikan dirinya sebagai pemain profesional sehingga kini.

“UiTM banyak mengajar saya bagaimana untuk menjadi seorang pemain yang lebih profesional dalam karier daripada saya berumur 20 tahun sehinggalah 26 tahun, banyak benda saya belajar.

“Mereka juga dah banyak beri impak positif dalam diri saya tidak kira dalam bola sepak atau di luar, jadi saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada UiTM kerana sanggup menerima saya seadanya daripada dulu.

“Saya akan kenang semua jasa yang telah menjadikan siapa Faizal Arif sampai bila-bila”, tambahnya.

Terdahulu, Faizal telah melakukan 19 penampilan dalam kesebelasan utama bersama UiTM FC di mana kelab itu mengakhir musim 2021 di kedudukan tercorot Liga Super 2021.