FAISAL MAHU SEGERA SEMBUH

April 27, 2022



Penyerang Terengganu FC, Faisal Abdul Halim berharap mampu pulih secepat mungkin selepas mengalami kecederaan ketika aksi Liga Super berdepan Selangor FC, Jumaat lalu.

Jelasnya, kesakitan di bahagian paha kanan masih lagi dirasai dan belum pasti adakah dia mampu untuk beraksi dalam aksi tertunda pusingan pertama Piala FA menentang Negeri Sembilan FC, Jumaat ini.

Kecederaan yang dialami selepas dia menjaringkan gol pada minit-20 nyata menghampakan penyerang kebangsaan ini kerana terpaksa dikeluarkan lebih awal.

“Kecewa sebab saya baru sahaja menjaringkan gol dan tahap keyakinan saya dah bertambah selepas itu, memang semangat nak bermain.

“Tetapi bila cedera memang sedih, tidak mahu dikeluarkan sebenarnya tapi jurulatih (Nafuzi Zain) minta saya keluar juga sebab memang tak boleh nak teruskan dah.

“Dah kena ‘harmstring’ macam ni, saya tak boleh nak cakap apa cuma harap tak teruk sangat”, jelasnya.

Dalam pada itu, pertahanan Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee menjangkakan pertembungan yang cukup sengit akan berlaku bagi menentang anak buah Nafuzi Zain pada Jumaat ini.

Baginya, Terengganu mempunyai ramai pemain berkualiti dan Negeri Sembilan perlu lebih waspada terutamanya apabila lawan melakukan pertukaran pemain di mana skuad Penyu ini dibarisi pemain-pemain muda yang wajar digeruni.

“Kita tahu Terengganu ada ramai pemain muda jadi kita tak boleh nak jangkakan sebab kalau tengok aksi sebelum ini, mereka banyak membuat pertukaran pemain dengan pemain muda.

“Kita tidak akan tumpu dekat seorang pemain mereka sahaja dan kita kena ambil tanggungjawab untuk aksi lawan Terengganu ini dengan lebih serius.

“Walaupun kita sedang konsisten dengan perlawanan di Liga Super sekarang, tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam Piala FA sebab ini adalah perlawanan kalah mati”, katanya.

Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC akan berentap dalam perlawanan tertunda pusingan pertama Piala FA 2022 pada Jumaat ini menyaksikan pasukan yang menang akan menentang skuad Kedah Darul Aman FC di pusingan kedua.

Saksikan siaran langsung perlawanan Terengganu FC lwn Negeri Sembilan FC di unifiTV 703, unifi playTV dan YouTube unifi.