[CHALLENGE CUP 2018] UKM FC MAHU PASTIKAN KEMENANGAN PERTAMA SEBAGAI PEMANGKIN MOTIVASI

August 7, 2018



Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) anggap Challenge Cup 2018 sebagai sebuah kejohanan penting dan mahu memulakan kempen kejohanan sulung ini dengan kemenangan sebagai pemangkin dalam usaha UKM FC untuk sekurang-kurangnya layak ke peringkat separuh akhir.

Ketua jurulatihnya, Sulaiman Husin berkata arah tuju pasukan dalam saingan Challenge Cup bergantung kepada perlawanan hari ini apabila UKM FC bakal menerima kunjungan daripada Sarawak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang petang ini.

“Jika kita mampu raih kemenangan hari ini sudah tentu pemain akan lebih bersemangat dan peluang untuk mendapat kedudukan teratas pasukan adalah lebih cerah,” kata beliau.

""

Bakal turun tanpa kehadiran beberapa tonggak utama, Sulaiman tidak gusar kerana peluang dapat diberikan kepada pemain-pemain muda yang jarang bermain ketika saingan 100PLUS Liga Premier yang lalu.

“Ada beberapa tonggak yang tidak dapat diturunkan hari ini, tetapi ini bakal membuka peluang kepada pemain-pemain muda kita.

“Saya yakin pemain muda lebih bersemangat kerana mereka lebih bermotivasi dan dahagakan kemenangan, jadi mungkin pemain seperti Wan Afiq dan Rafizi Hamdan akan diturunkan hari ini.

""

“Challenge Cup ini bukan sahaja memberi lebih aksi kompetitif kepada pasukan, ia jugak memberi kami ruang untuk menilai pemain yang akan bermain musim depan."

UKM FC bakal membuka tirai kejohanan Challenge Cup edisi sulung bermain disebelah petang hari ini menentang Sarawak dalam aksi Kumpulan A.

Manakala sebuah lagi aksi diantara pasukan unifi Liga Super Malaysia, Negeri Sembilan yang akan melayan kunjungan Terengganu FC II di Paroi malam ini.