CASAGRANDE BAKAL DAPAT GANDINGAN TERBAIK

January 26, 2022



Ketua jurulatih Penang FC, Tomas Trucha percaya kehadiran seorang lagi pemain import akan menjadi gandingan terbaik Casagrande untuk memantapkan lagi bahagian serangan dalam saingan Liga Super 2022.

Trucha tidak menolak Penang akan membawa masuk seorang penyerang import dalam masa terdekat di mana pemain yang masih lagi dirahsiakan itu akan menambah kekuatan pasukan selepas Casagrande juga menampilkan aksi cemerlang dengan 12 jaringan pada musim lalu.

Jelas jurulatih dari Republik Czech itu, beliau tidak mahu tumpuan hanya diberikan kepada Casagrande sahaja untuk menghasilkan gol kerana percaya meskipun tanpa kelibatnya, pemain lain tetap mampu melakukan jaringan bagi membantu pasukan pada musim ini.

“Sebelum ini saya pernah katakan yang saya tidak mahu bergantung kepada Casagrande sahaja sebab ada juga pemain lain yang boleh jaringkan gol.

“Dan sebenarnya, walaupun dia ada atas padang, kita dapat tengok juga ada pemain lain yang tetap menjaringkan gol dan ini yang saya mahukan di mana Penang ada pemain-pemain yang tidak hanya bergantung kepada satu penyerang sahaja.

“Kita akan membawa masuk seorang lagi penyerang di mana dia akan bersama-sama dengan Casagrande untuk beraksi, dan dia juga akan dapat membantu dengan lebih kerap di bahagian serangan sekiranya salah seorang daripada mereka cedera atau sebagainya.

“Sekarang saya juga ingin menekankan bagaimana pemain-pemain ini perlu ada skil untuk menjaringkan gol dan boleh memberikan penyudah berkesan”, katanya.

Bercakap mengenai sasaran, Trucha mempunyai pandangan tersendiri di mana beliau enggan meletakkan sasaran tertentu lebih awal kerana misinya hanya ingin mempersiapkan skuad terbaik musim 2022.

Apa yang penting adalah kerja keras pemain untuk memberikan kemenangan dalam setiap perlawanan sehingga akhirnya mereka mampu meletakkan pqsukan di kedudukan terbaik sepertimana yang telah dilakukan pada musim 2021.

“Sasaran peribadi saya hanya satu iaitu untuk mempersiapkan pasukan terbaik bagi memberikan saingan yang sengit pada musim ini.

“Ini kerana kalau kita tengok pada musim lalu, sasaran awal adalah untuk sekurang-kurangnya di kedudukan enam terbaik liga, tetapi saya sentiasa mengingatkan pasukan untuk pergi satu demi satu perlawanan terlebih dahulu dan akhirnya kita berjaya berada di tangga ketiga.

“Sama juga musim ini di mana kita akan lihat kedudukan liga daripada apa yang sudah kita lakukan dalam setiap perlawanan nanti,” tambahnya.

Penang FC ketika ini mengekalkan tiga pemain import mereka iaitu Casagrande, Rafael Vitor dan Endrick dos Santos di mana pasukan kini masih menanti dua lagi pemain import yang akan diumumkan dalam masa terdekat.