CAION MAHU KERJA LEBIH KERAS

April 13, 2022



Penyerang import Selangor FC, Caion tekad ingin bekerja lebih keras untuk meneruskan momentum selepas berjaya menghasilkan lima gol dalam tiga perlawanan Liga Super setakat ini.

Dalam dua perlawanan terdahulu, tiga jaringan yang dilakukan penyerang dari Brazil ini adalah menerusi sepakan penalti, jadi dua gol daripada permainan terbuka pada Ahad lalu menentang Kedah Darul Aman FC pastinya memberi makna kepada Caion untuk membantu pasukan meraih kemenangan pertama.

Namun, dia menganggap ini baru sahaja permulaan dan masih banyak yang perlu dilakukan sekiranya mahu menghasilkan jaringan selepas ini.

“Saya gembira dan mahu mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan kerana membantu saya setiap masa dan saya bekerja keras setiap masa untuk pasukan.

Saya hanya nak cakap saya gembira sebab rakan sepasukan sentiasa membantu tetapi saya perlu bekerja lebih keras untuk menjaringkan gol.

“Jika saya tidak berusaha, gol tidak akan datang. Tetapi paling utama adalah saya nak berusaha keras untuk pasukan, siapa yang menjaringkan gol tidak penting”, jelasnya.

Dalam masa sama, pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar menyifatkan barisan pertahanan telah belajar daripada kesilapan lalu dan beraksi lebih baik pada Ahad lalu.

Namun, dia percaya Selangor masih berpeluang untuk menang tanpa bolos dalam aksi aksi seterusnya dan tidak perlu menjadikan satu gol dibolosi Kedah tempoh hari sebagai satu tekanan berterusan.

“Bukan rezeki kami untuk mendapat ‘clean sheet’ pada malam ini (Ahad) tetapi insyaAllah kami akan buat yang terbaik dalam perlawanan seterusnya tanpa bolos dan menang.

“Bagi saya macam aksi minggu lepas, kami bermain 10 orang jadi mungkin daripada segi kecergasan, fokus agak lemah sebab ambil mudah dengan pihak lawan, tapi hari ini (Ahad) kita tidak ingin benda sama berulang dan kami lebih fokus.

“Mungkin ini satu permulaan untuk kita lebih bersemangat dan setiap perlawanan kita akan pastikan untuk tidak mengambil mudah selepas ini”, katanya.

Selangor FC akan bertandang ke Gong Badak untuk bertemu Terengganu FC pada Jumaat, 22 April 2022.