CABARAN BAHARU BUAT TOCANG

January 26, 2022



Setelah sembilan tahun membina karier di Sri Pahang, bukan sesuatu yang mudah pertahanan kiri Sri Pahang FC, Mohd Faisal Mohd Rosli menempuh jalan berbeza musim ini apabila buat pertama kali berhijrah ke pasukan baharu musim ini bersama Kelantan United FC.

Biarpun pada mulanya akui ada rasa janggal kerana berasakan Sri Pahang seperti sudah sebahagian dengan dirinya, Faisal anggap ini sebagai lumrah dalam mana-mana kehidupan seorang pemain sambil rasa bersyukur telah lalui banyak pengalaman berharga semasa di sana.

Kini Faisal yang lebih mesra dengan sapaan Tocang berharap agar dia cepat menyesuaikan diri dengan suasana baharu dan tidak berasakan bermain di Liga Premier sebagai satu masalah besar.

 

“Ketika saya menanti tawaran dari pasukan lain, pengurusan Kelantan United menjadi pasukan pertama hubungi saya dan berkata mereka amat memerlukan pertahanan kiri.

“Tanpa berfikir panjang, saya menerima tawaran diberikan Kelantan United dan sememangnya ini sebagai satu cabaran baharu kerana banyak perkara saya kena sesuaikan telah lama berada di Kuantan.

“Bezanya sudah tentu banyak kerana selama ini di Sri Pahang, kebanyakan rakan sepasukan adalah kawan-kawan saya juga tetapi kali ini di Kelantan United, semuanya saya baru hendak kenal.

“Setakat ini, saya tidak berdepan masalah setelah menjalani latihan dengan Syamsul Saad dan boleh dikatakan saya gembira dengan corak latihan yang disediakan,” katanya.

Berasal dari Rompin, Faisal yang berusia 31 tahun menjadi pemain terakhir dari skuad Pahang yang berjaya muncul juara Piala Malaysia dua kali berturut-turut pada 2013 dan 2014.

Musim lalu, dia banyak bersaing dengan Fazly Mazlan di posisi pertahanan kiri selain pernah bertindak selaku pemain tengah ketika di bawah kendalian Dollah Salleh.

Sementara itu, Faisal menjelaskan dia akan cuba membantu Kelantan United walaupun sebahagian besar pemain terdiri daripada pemain-pemain muda.

“Pasukan ini agak menarik kerana ada lebih 90 peratus pemain yang berasal dari Kelantan dan ramai pemain muda, boleh dikatakan Kelantan United agak ‘low profile’ dari segi reputasi pemain.

“Saya harap Kelantan United mampu beri saingan dalam saingan Liga Premier walaupun ada pasukan lain yang mungkin ada punyai ramai nama besar.

“Ada juga pemain berpengalaman seperti Syahrul Azwari yang turut bersama pasukan dan saya harap dari segi aspek itu, saya boleh beri sumbangan,” katanya.