BUKAN MUDAH UNTUK KONSISTEN – MORA

March 14, 2022



Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menganggap bukan mudah untuk memastikan anak buahnya konsisten 90 minit tanpa bolos selepas menang besar 10-0 ke atas BRM FC pada aksi pusingan pertama Piala FA, semalam.

Jelasnya, apa yang paling sukar adalah mengekalkan persembahan sepanjang perlawanan terutamanya apabila mereka telah menjaringkan lima gol di separuh masa pertama dan enggan selesa pada separuh masa kedua.

Namun, pujian harus diberikan kepada penjaga gol, Haziq Nadzli atas kesungguhan dalam mengawal gawang apatah lagi selepas berjaya menyelamatkan sepakan penalti daripada Fitri Omar pada saat akhir perlawanan.

“Apa yang paling sukar adalah untuk mengekalkan corak permainan dan juga arahan kerana kadang-kadang selepas tiga atau empat gol pertama, mereka akan mudah berasa selesa.

“Tetapi kami di JDT tidak akan berhenti selagi belum tamat perlawanan and kita beraksi sepertimana kita menentang lawan yang terbaik dan saya rasa ia bagus apabila kami dapat menjaringkan seberapa banyak gol yang mampu.

“Haziq pula sememangnya penjaga gol yang bagus dan dia meletakkan seluruh kekuatan untuk menyelamatkan sepakan penalti dan inilah bola sepak di mana kita sebenarnya boleh bolos dengan satu gol.

“Tetapi ia tidak berlaku dan apabila mereka telah menjaringkan lapan gol, saya katakan kepada pemain untuk menambah dua lagi jaringan dan mereka berjaya, jadi saya sangat gembira”, katanya.

Dalam satu lagi aksi yang berlangsung adalah perlawanan antara PJ City FC dan Kelantan FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya menyaksikan tuan rumah menang dengan keputusan 2-1.

Pengendalinya, P. Maniam tidak menyangka pasukan mampu untuk menandingi Kelantan tatkala lawan terlebih dahulu memecah kebuntuan pada minit 18 sebelum PJ City menyamakan kedudukan.

Paling menarik apabila pemainnya P. Rajes berjaya untuk memberi gol kemenangan kepada pasukan menerusi tandukan menarik menewaskan penjaga gol Kelantan.

“Apabila kita melakukan pertukaran dengan memasukan Rajes, pada usianya 37 tahun saya tidak jangka dia mampu melakukan tandukan sebegitu untuk menjaringkan gol.

“Dia di posisi yang tepat untuk menyudahkan hantaran daripada S. Kumaahran dan secara keseluruhan saya sangat gembira kerana Kelantan bukan pasukan yang mudah.

“Mereka mempunyai pemain yang berkualiti dan pemain tempatan juga begitu bagus, jadi saya rasa mereka akan dapat pergi jauh dalam saingan liga musim ini”, jelasnya.

Dua lagi perlawanan turut berlangsung semalam menyaksikan Kuala Lumpur City FC turut menang besar ke atas Langkawi City FC dengan keputusan 8-0 manakala Sarawak United FC menang 7-0 menewaskan Ultimate FC.