BEST XI LS5 – ROMEL MORALES KEMBALI

April 20, 2022



Penyerang Kuala Lumpur City FC, Romel Morales kembali menjadi tumpuan selepas menjaringkan dua gol selepas diberi kepercayaan semula untuk mengetuai jentera serangan.

Penganalisis Liga Malaysia yang juga bekas pemain kebangsaan, Shahrom Kalam menyifatkan sekembalinya Morales benar-benar memberi impak di bahagian depan Kuala Lumpur.

Meskipun pemain dari Colombia ini baru sahaja pulih daripada kecederaan, tetapi dia tidak menunggu lama untuk memberi impak bagi membantu kemenangan pasukan menewaskan Sabah FC dengan keputusan 2-0 pada Sabtu lalu.

“Sebelum ini kita tengok dia diketepikan pada awal musim sebab cedera, tetapi sekembalinya dia dalam pasukan, terus berjaya bantu kemenangan.

“Ini yang kita nampak kualiti yang ada pada Romel dan kehadiran dia memang membantu serangan Kuala Lumpur selepas lama direhatkan.

“Saya percaya selepas ini KL City tidak akan berdepan masalah besar di bahagian depan dan seperti mana musim lepas, Romel akan terus memberi impak yang positif kepada pasukan”, jelasnya.

Selain Morales, Shahrom turut meletakkan penyerang import Kedah Darul Aman FC, Ronald Ngah dalam barisan kesebelasan terbaik Liga Super untuk minggu keempat.

Dengan tiga jaringan yang berjaya diraihnya setakat ini menyaksikan pemain berasal dari Cameroon ini nyata digeruni terutamanya selepas dia berjaya bantu kemenangan pasukan 2-1 ke atas Penang FC, Ahad lalu.

“Ronald Ngah menjadi watak penting dalam Kedah dan dalam setiap perlawanan berjaya bantu di bahagian depan.

“Terutamanya selepas tewas 1-4 kepada Selangor minggu lalu, kali ini dia berjaya untuk menambah dua jaringan menewaskan Penang FC.

“Selain Syafiq Ahmad, Ronald Ngah akan terus diberi tumpuan menjadi antara nadi utama pasukan di bahagian serangan”, katanya.

Memilih formasi 4-3-3, pemain lain yang turut disenaraikan adalah Herold Goulon (Negeri Sembilan FC), Irfan Zakaria (KL City FC). Arif Fadzilah (Terengganu FC) dan Wan Amirul Afiq (Melaka United FC) di bahagian pertahanan.

Di bahagian tengah, tiga pemain pilihan Shahrom adalah Dechi Marcel N’Guessan (Kedah Darul Aman FC), Manuel Ott (Terengganu FC) dan Sony Norde (Melaka United FC) serta penjaga gol, Kevin Ray Mendoza (Kuala Lumpur).

Selain Morales dan Ronald Ngah di bahagian depan, Matheus Alves (Negeri Sembilan FC) turut menjadi pilihan Shahrom bagi jentera serangan.