BEST XI LS10 – HABIB KIAN MENYERLAH

June 22, 2022



Pemain import yang beraksi di bahagian tengah Terengganu FC, Habib Haroon mula mempamerkan peningkatan daripada segi prestasi dan sumbangan buat pasukan.

Penganalisis Liga Malaysia yang juga bekas penyerang, Rudie Ramli memilih Habib antara pemain yang menyerlah pada minggu ke-10 saingan Liga Super di dalam Best XI.

Tambahnya, Habib jelas menjadi punca kebangkitan di sebalik kemenangan Terengganu FC apabila meledak jaringan pertama yang menarik pada minit-75.

“Habib banyak menjadi penggerak utama serangan malah sebelum jaringannya, Terengganu banyak mendapat peluang.

“Jaringannya memang cantik malah menjadi pencetus kepada kejayaan pasukan kerana kalau tidak, mungkin sukar Terengganu untuk menang.

“Jelas dia seorang pemain yang cukup penting kepada Terengganu musim ini malah saya lihat dia seorang pemain yang berbeza berbanding musim lalu,” katanya.

Selain Habib, Rudie juga memilih Brendan Gan yang membuat penampilan pertama bersama Selangor FC sebagai pemain yang layak diberikan pujian.

“Walaupun dia tidak bermain sepenuh masa tetapi memulakan tempat dalam kesebelasan utama setelah setahun tidak bermain, bagi saya satu pencapaian yang luar biasa.

“Dia buktikan masih mampu bermain di tahap tertinggi serta gol pertamanya menjadi inspirasi kepada kemenangan besar 7-0 pasukan,” katanya.

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain menjadi pilihan Rudie sebagai jurulatih terbaik sementara penjaga gol pilihan, Khairul Fahmi Che Mat dari Sabah FC.

Di bahagian pertahanan, dua pemain Selangor (Quentin Cheng, Sharul Nazeem Zulpakar) dan dua pemain Terengganu FC (Hairiey Hakim Mamat, Shahrul Nizam Ros Hasni).

Tiga pemain tengah berdasarkan formasi 4-3-3 selain Habib dan Brendan ialah S. Kumaahran (PJ City FC) manakala barisan penyerang terdiri Sony Norde (Melaka United FC), Caion (Selangor FC) dan Faisal Abdul Halim (Terengganu FC).