BEKAS PEMAIN KINI BERGELAR PRESIDEN MFL

August 19, 2021



Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Satianathan menyifatkan Presiden Malaysian Football League (MFL) yang baharu, Dato’ Ab Ghani Hassan mempunyai jiwa mendalam terhadap bola sepak kerana bukan sahaja pernah terlibat dalam pengurusan tetapi pernah menjadi bekas pemain.

Menurut Satianathan, secara kebetulan beliau sememangnya pernah bersama-sama semasa di pasukan Negeri Sembilan pada lewat 80-an dan itu menjadikan beliau mengenali perwatakan Dato’ Ab Ghani yang sememangnya mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak.

Selain itu, Satianathan pernah bekerjasama dengan Dato’ Ab Ghani semasa beliau bertindak selaku penolong jurulatih Negeri Sembilan pada tahun 1993 yang menyaksikan Dato’ Ab Ghani pada waktu tersebut merupakan penolong pengurus.

“Pelantikan beliau memang tepat kerana telah lalui banyak pengalaman dari sudut pengurusan dan pemain, saya boleh bercakap begini kerana saya telah kenal lama Dato’ Ab Ghani.

“Saya menjadi ketua pasukan di Negeri Sembilan pada tahun 1988 dan beliau ada beraksi bersama-sama saya sebagai pertahanan. Semasa bermain satu pasukan, beliau seorang yang begitu berdisiplin dan sentiasa bekerjasama dalam pasukan.

“Jika tidak kerana beliau mahu berikan fokus terhadap kerjaya selaku pegawai bank pada waktu itu, saya rasa dia boleh bermain untuk peringkat kebangsaan kerana dia ada kualiti yang baik dari segi tandukan, bijak membaca permainan serta punyai kaki kiri yang cukup baik.

“Setahun kemudian, saya menjadi jurulatih bagi skuad Piala Emas Raja-Raja dan beliau berada dalam pasukan yang menyaksikan buat pertama kalinya Negeri Sembilan muncul juara.

“Pengalaman tidak boleh dilupakan pada waktu itu ialah dia yang asalnya adalah seorang penyerang telah beraksi selaku pertahanan tetapi dia boleh bermain dengan baik.

“Kemudian di peringkat pengurusan,biarpun bertindak selaku penolong pengurus pada waktu tersebut namun beliau sering kali mendampingi pemain serta seorang yang mudah diajak berbincang, beliau sudah ada semua pengalaman dari peringkat bawah sebelum ke MFL,” katanya.

Pada Isnin, Dato’ Ab Ghani yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL telah dipilih sebagai Presiden MFL baharu bagi menggantikan Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin.

Pelantikan itu dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL hasil daripada Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas menerima surat peletakan jawatan daripada Datuk Haji Hamidin bertarikh 12 Ogos 2021.

Mengimbas mengenai karier bola sepak Dato’ Ab Ghani, 58, mula mewakili Negeri Sembilan untuk beraksi dalam
Liga Dunhill dan Piala Malaysia pada 1982 ketika berusia 19 tahun.

Sudah pasti antara detik yang paling diingati adalah penampilan Dato’ Ab Ghani bersama lagenda Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dalam skuad Pilihan Negeri Sembilan menentang kelab Belanda, FC Groningen yang ketika itu diwakili bintang Singapura, Fandi Ahmad.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Merdeka itu, skuad Pilihan Negeri Sembilan tewas 3-2.

Dalam pada itu, Sathianathan mendedahkan semasa Dato’ Ab Ghani menjadi CEO, beliau sentiasa senang dibawa berbincang dan akan sentiasa bertanyakan pandangan orang lain.

“Semasa menjadi CEO, beliau banyak berhubung dengan saya kerana beliau bukan jenis manusia yang berasakan tahu segala-galanya dan akan tanya pandangan orang lain mengenai bola sepak.

“Beliau amat disenangi oleh rakan-rakan kongsi dalam bola sepak serta ada perhubungan baik dengan semua pihak yang memudahkan untuk beliau mempertingkatkan serta memperbaiki sebarang kelemahan dalam MFL.

“Jika hendak buat sesuatu keputusan terutama dari segi kejurulatihan yang menyentuh semua pasukan dalam MFL, beliau akan tanyakan pandangan saya yang mewakili PJBM.

“Malah, jika kita ada masalah, beliau mudah untuk dihubungi serta ada masa untuk kita maka berdasarkan semua aspek di atas, sememangnya beliau orang paling layak menjadi Presiden MFL,” katanya.