AZRI MAHU BELAJAR DENGAN KEVIN MENDOZA

January 19, 2022



Penjaga gol baharu Kuala Lumpur City FC, Azri Ab Ghani ingin menggunakan satu musim ini untuk bekerjasama dengan penjaga gol import, Kevin Ray Mendoza dalam memperbaiki prestasi diri selain sedar bukan mudah untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Dia yang mengikat kontrak selama dua tahun bersama skuad kendalian Bojan Hodak ini tidak ingin terburu-buru menjadi penjaga gol utama sebaliknya mahu mendapatkan pengalaman baharu terlebih dahulu bersama Mendoza dalam latihan untuk lebih cemerlang sepertimana yang telah dilakukan oleh penjaga gol dari Filipina itu pada musim lalu.

Apa yang penting adalah komitmen dalam memastikan dirinya mampu mempertaruhkan aksi dengan lebih baik kerana sasarannya adalah pada musim 2023 untuk dijadikan sandaran utama dalam pasukan.

“Memang cabaran besar sebenarnya apabila berpindah ke Kuala Lumpur, tapi yang bagusnya adalah saya akan dapat pengalaman baharu dengan Kevin (Kevin Mendoza).

“Ini juga akan menjadi tanggungjawab saya sebab boleh belajar dan ambil ilmu dengan dia sebab kita tahu bagaimana dia dah melakukan tugas yang cukup baik pada tahun lepas.

“Jadi, memandangkan saya ikat kontrak selama dua tahun, untuk musim pertama ini saya akan belajar banyak benda dahulu dan selepas itu saya sasarkan musim kedua adalah musim saya untuk menjadi lebih baik.

“Saya akan beri komitmen yang terbaik untuk belajar supaya jurulatih (Bojan Hodak) juga akan nampak usaha keras saya”, jelasnya.

Menjelang saingan Piala AFC 2022, bekas pemain Perak FC ini menjangkakan Kuala Lumpur mampu melakar kejutan di mana dia juga tidak ingin terlepas untuk mencipta sejarah di mana ini akan menjadi penampilan keduanya di pentas Asia selepas kali terakhir beraksi ketika bersama Kedah Darul Aman FC pada musim 2020.

Kuala Lumpur diundi dalam Kumpulan H bertemu kelab Singapura, Tampines Rovers, wakil Indonesia, PSM Makassar dan kelab dari Myanmar sama ada Shan United atau Ayeyawady United.

“Dengan pemain-pemain yang ada dalam Kuala Lumpur sekarang, saya percaya kita setanding dengan lawan-lawan yang ada dalam Kumpulan H.

“Sebelum ini saya pun pernah bersaing di pentas Asia dengan Kedah dan ini tahun kedua dengan Kuala Lumpur pula, jadi saya anggap ia adalah rezeki yang besar untuk saya.

“InsyaAllah saya akan cuba sedaya upaya untuk cuba rebut tempat dengan penjaga gol lain supaya dapat diturunkan dalam kejohanan itu nanti”, jelasnya.