AZFAR MAHU CIPTA NAMA BERSAMA PJ CITY

February 4, 2022



Penjaga gol baharu PJ City FC, Muhammad Azfar Arif mahu menjadikan pasukan ini sebagai landasan pertama untuk melangkah dengan lebih jauh selepas empat musim bersama UiTM FC.

Azfar mengakui UiTM telah banyak membentuk dirinya untuk menjadi pemain profesional dan kini hadir ke dalam skuad kendalian P. Maniam merupakan peluang terbaik untuknya mencipta nama agar lebih dikenali.

Justeru, keputusan untuk berhijrah dianggap tepat memandangkan usianya yang masih muda untuk menimba lebih banyak pengalaman sepertimana yang telah dilakukan selama empat tahun bersama UiTM.

Cuma apa yang lebih berbeza adalah apabila ini akan menjadi pengalaman pertama dia bersama pasukan yang dibarisi semua pemain tempatan.

“Memang ini akan menjadi langkah pertama untuk karier saya bergerak dengan lebih jauh pada masa hadapan sebab dekat sini pun semuanya adalah pemain tempatan.

“Jadi, sudah tentu cabaran itu akan menjadi lebih besar dan kita sendiri sebagai penjaga gol pun akan melakukan lebih banyak kerja untuk mengekang asakan penyerang import pasukan lain.

“Cuma saya inginkan pengalaman yang berbeza dekat sini sebab musim lepas saya tidak rasa puas beraksi apabila bersaing dengan Zamir Selamat, tetapi sebenarnya saya pun banyak belajar daripada dia,” jelasnya.

Meskipun sedar musim ini dia tetap akan bersaing sengit dengan penjaga gol utama, Kalamullah Al-Hafiz, namun misi Azfar adalah untuk mempelajari sesuatu daripadanya sepertimana yang telah dilakukan ketika bersama Zamir pada tahun lalu.

Baginya, perebutan sengit ini akan sentiasa mengajar dirinya untuk bekerja keras agar mampu menjadi seorang penjaga gol yang berpotensi besar.

“Agak sengit sebab Kalamullah adalah penjaga gol utama, jadi saya kena bekerja keras dalam latihan agar saya mendapat peluang terbaik untuk diturunkan.

“Cuma apa yang lebih penting adalah bagaimana saya perlu manfaatkan peluang yang ada untuk belajar dengan dia sebab dia punya cara bermain memang bagus.

“Saya selalu akan duduk dekat belakang dan tengok cara dia mencurahkan idea dalam padang, cara menghantar bola kepada pemain dan kedudukan dia yang sentiasa tepat untuk mendapatkan bola, itu yang saya mahu belajar”, tambahnya.

 

Kredit gambar:  PJ City FC