ARIF AIMAN PERTAHAN KEMENANGAN MVP DI ABK22

December 15, 2022



Buat musim kedua berturut-turut, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd. Hanapi, dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22) yang diadakan secara virtual, sebentar tadi.

Bintang muda berusia 20 tahun ini berjaya mempertahankan gelaran dimenangi musim lalu selepas persembahan cemerlang dan konsisten sepanjang musim bersama JDT.

Beliau menjadi antara tunjang utama kepada kejayaan luar biasa JDT yang melakar sejarah meraih ‘quadruple’ dengan menyapu bersih semua kejuaraan musim ini iaitu Liga Super, TM Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah.

Arif menerima Anugerah MVP selepas diumumkan oleh Presiden Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan.

Selain memenangi MVP, beliau turut mempertahankan dua lagi gelaran iaitu anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.

Menurut Arif, yang berjaya meledak 8 gol dan 16 bantuan jaringan, beliau mahu memberikan penghargaan kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa memberikan sokongan serta kepercayaan kepadanya bagi beraksi cemerlang sepanjang musim ini.

“Pertama sekali saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tengku Mahkota Johor yang sentiasa memberikan peluang berharga kepada pemain-pemain muda seperti saya. Tidak dilupakan kepada ketua jurulatih (Hector Bidoglio) dan pegawai-pegawai JDT yang sentiasa memberikan peluang kepada saya untuk beraksi dalam kesebelasan utama pada musim ini.

“Bagi keluarga saya, terima kasih kerana mendoakan kejayaan saya serta sentiasa memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada saya.

“Tidak dilupakan kepada penyokong-penyokong JDT yang sentiasa datang ke stadium, berikan sokongan kepada kami dan alhamdulillah musim ini kami banyak menang kejohanan di peringkat domestik, Insya Allah tahun depan, saya akan jadi lebih terbaik berbanding musim ini dan harap peminat setia JDT jangan berhenti menyokong kami,” katanya.

Arif turut berjaya mengetepikan cabaran sengit Faisal Abdul Halim (Terengganu FC) dan Darren Lok (PJ City FC) bagi kategori anugerah Penyerang Terbaik dan bagi anugerah Pemain Muda Terbaik, Arif mengetepikan cabaran Azam Azmi Murad (Terengganu FC) serta Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC).

Selain Arif, kem JDT turut ceria dengan kemenangan Shahrul Saad bagi kategori anugerah Pertahanan Terbaik selepas berjaya mengatasi rakan sepasukan, La’Vere Corbin-Ong selain Ahmad Khuzaimi Piee (Negeri Sembilan FC).

Ini merupakan kejayaan ketiga peribadi Shahrul selepas pernah memenanginya dua kali pada musim 2018 dan 2019 semasa bersama Perak.

Bagi kategori anugerah Pemain Tengah Terbaik, Afiq Fazail (JDT) mencuri perhatian apabila diumumkan pemenang dengan menewaskan Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC) dan pemenang musim lalu, Baddrol Bakhtiar (Sabah FC).

Kemenangan ini merupakan kejayaan sulung buat pemain berusia 28 tahun berkenaan sekali gus menebus kehampaannya pada musim lalu yang turut dicalonkan dalam kalangan tiga terbaik.

Berdasarkan ledakan 40 jaringan sepanjang musim ini di Liga Malaysia, penyerang JDT, Bergson da Silva, menepati statusnya apabila menggondol kategori anugerah Pemain Import Terbaik dengan mengatasi rakan sepasukan, Fernando Forestieri dan ketua pasukan Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue.

“Terima kasih atas anugerah ini terutamanya Tengku Mahkota Johor (TMJ), semua rakan sepasukan yang sentiasa menyokong saya sepanjang musim ini.

“Bukan mudah untuk mendapatkan gelaran pemain import terbaik dan saya rasa gembira kerana berpeluang memenanginya, terima kasih sekali lagi,” katanya.

Selain itu, pemain import kelahiran Brazil itu juga diumumkan Penjaring Terbanyak Liga Super 2022 apabila menjaringkan 29 gol, jauh mengatasi pencabar terdekat, Herlison Caion (Selangor) dengan 14 jaringan.

Bergson turut memecahkan rekod jumlah gol terbanyak dalam semusim Liga Super yang sebelum ini dipegang oleh Ifedayo Omosuyi (26 gol).

Melengkapkan lagi malam gemilang JDT di ABK22 apabila skuad Harimau Selatan itu turut memenangi anugerah Pasukan Terbaik, sekali gus mempertahankan kemenangan sejak musim 2018.

Kejayaan mara ke pentas akhir Piala FA dan muncul naib johan Liga Super melayakkan Nafuzi Zain untuk muncul pemenang kategori anugerah Jurulatih Terbaik, mengatasi pemenang musim lalu, Bojan Hodak (KL City FC) dan Datuk Ong Kim Swee (Sabah FC).

“Syukur alhamdulillah untuk anugerah ini, saya sendiri tidak percaya kerana saya tahu yang calon-calon lain lebih berpengalaman berbanding dengan saya.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pemain-pemain, staf kejurulatihan dan pengurusan, semua penyokong-penyokong yang sentiasa bersama saya.

“Ini adalah kejayaan bersama dan anugerah ini juga bagi saya lebih bersemangat untuk berusaha serta bekerja keras di masa hadapan.

“Terima kasih kepada MFL yang memberikan anugerah ini untuk saya, satu penghargaan yang saya rasa sangat besar sebagai seorang jurulatih yang baharu,” katanya.

Turut mencuri tumpuan ialah Ahmad Syihan Hazmi (Negeri Sembilan FC) yang dinobatkan Penjaga Gol Terbaik, mengatasi saingan sengit Kalamullah Al-Hafiz (PJ City FC) dan Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC).

Ahmad Syihan muncul pemenang baharu kategori itu sejak 2017 apabila selama empat musim berturut-turut dikuasai Farizal Marlias (JDT).

“Terima kasih MFL dan penyokong Negeri Sembilan yang sentiasa sokong Syihan, selalu beri semangat dan tidak dilupakan kepada kapten Negeri Sembilan (Zaquan Adha Abd. Radzak).

“Begitu juga dengan pemain-pemain yang sentiasa menyokong Syihan dan pengurusan Negeri Sembilan, terima kasih banyak-banyak.

“Anugerah ini saya khususkan kepada mereka yang sentiasa doakan kejayaan Syihan terutama sekali isteri, anak-anak dan ibu.

“Rasa sangat bersyukur kerana musim 2022 ini anugerah yang sangat bermakna kepada Syihan dan harap dapat membuat lebih baik lagi pada musim depan,” katanya.

Sejarah juga tercipta di ABK22 apabila kategori anugerah Gol Terbaik Liga Malaysia diperkenalkan kali pertama dengan Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC) muncul pemenang. Pemenang anugerah ini ditentukan 100% menerusi undian penyokong.

Jaringannya pada minit ke-32 semasa berdepan Melaka United FC pada 1 Oktober lalu dalam aksi Liga Super diangkat sebagai gol terbaik musim 2022.

Sementara itu, PJ City FC berjaya memenangi dua kategori dipertandingkan iaitu Anugerah Fair Play selain penyerang, Darren Lok, yang meraih Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super 2022 dengan 10 gol.

Turut tidak ketinggalan, Abu Kamara (Kuching City FC) muncul Penjaring Terbanyak Liga Premier 2022 selepas meledak 11 gol manakala Nurshamil Abd Ghani (Kelantan FC) berjaya mempertahankan gelaran Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier yang dimenangi musim lalu bersama Daryl Sham (Johor Darul Ta’zim II), apabila masing-masing menjaringkan 9 gol.

Seramai 386 daripada 667 pemain telah disenarai pendek berdasarkan penampilan bersama pasukan masing-masing sebelum dibawa ke Jawatankuasa Saringan ABK22 yang mengundi 10 pemain terbaik mereka dalam setiap kategori. Para pemain dipilih dalam setiap kategori mengikut posisi yang didaftarkan oleh pasukan masing-masing.

22 ketua jurulatih, 22 ketua pasukan Liga Super dan Liga Premier dan 22 wakil media telah mengundi 10 pemain bagi setiap kategori itu pada 2 November dan berakhir 8 November 2022.

Manakala penyokong-penyokong pula berpeluang mengundi FAN XI dan berikut adalah keputusan undian FAN XI:

JURULATIH: Nafuzi Zain (Terengganu FC)

PENJAGA GOL: Ahmad Syihan Hazmi (Negeri Sembilan FC)

PERTAHANAN KANAN: Azam Azmi Murad (Terengganu FC)

PERTAHANAN TENGAH: Shahrul Saad (Johor Darul Ta’zim)

PERTAHANAN TENGAH: Shane Lowry (Johor Darul Ta’zim)

PERTAHANAN KIRI: La’Vere Corbin-Ong (Johor Darul Ta’zim)

TENGAH: Leandro Velazquez (Johor Darul Ta’zim)

TENGAH: Afiq Fazail (Johor Darul Ta’zim)

TENGAH: Manuel Ott (Terengganu FC)

SAYAP KANAN: Arif Aiman Hanapi (Johor Darul Ta’zim)

PENYERANG: Bergson da Silva (Johor Darul Ta’zim)

SAYAP KIRI: Faisal Abdul Halim (Terengganu FC)