ABK21: QUENTIN GEMBIRA, DANIEL TERKEJUT

December 4, 2021



Calon Pertahanan Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21) Quentin Cheng menganggap keputusannya memilih bermain dengan Penang FC secara pinjaman dari Selangor pada musim 2021 nyata telah memberikan nafas baharu kepada kariernya.

Pertahanan berusia 22 tahun itu secara jujur gembira kerana dapat membuktikan dirinya boleh bersaing di pentas Liga Super biarpun ini baharu merupakan tahun keduanya di Liga Malaysia.

Justeru, dia melihat pencalonan dalam kalangan tiga terbaik sudah dianggap sebagai satu simbol kejayaan buat dirinya tanpa meletakkan harapan terlalu tinggi untuk menang.

“Keputusan untuk bersama Penang FC musim ini selaku pemain pinjaman sememangnya sukar untuk dilakukan tetapi saya gembira kerana dapat membuktikan yang saya boleh beraksi di Liga Super.

“Jurulatih (Tomas Trucha) dan barisan kejurulatihan sentiasa menyokong serta memberikan keyakinan kepada saya untuk bermain baik dalam tiap perlawanan kerana bukan sesuatu yang mudah untuk bermain dalam semua 22 perlawanan Liga Super.

“Sebagai pemain muda, saya rasa gembira dengan pencalonan yang diterima kerana menunjukkan saya sudah boleh bersaing dengan pemain-pemain lain yang lebih berpengalaman di liga.

“Saya rasa pertahanan JDT, Matthew Davies merupakan antara yang calon ‘favourite’ untuk memenangi gelaran pertahanan terbaik selepas lalui musim terbaik bersama pasukan,” katanya.

Musim lalu, kategori ini berjaya dimenangi Aidil Zafuan Abd. Radzak dari Johor Darul Ta’zim yang juga kejayaan kali kelima buat dirinya.

Selain Quentin dan Matthew, seorang lagi calon ialah pertahanan Kuala Lumpur City FC, Daniel Ting yang beraksi cemerlang sepanjang kempen TM Piala Malaysia 2021.

Menurut Daniel, dia sebenarnya berasa terkejut berada dalam senarai pencalonan akhir kerana menyifatkan terdapat ramai pemain lain yang lebih hebat dan ternama.

Justeru, dia berasa sangat bertuah sambil berasakan seperti satu kemenangan boleh berada dalam kalangan tiga terbaik dan tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang.

“Secara jujur, saya sama sekali tidak menyangka boleh berada dalam senarai tiga terbaik, ini sememangnya satu pencapaian besar dalam karier saya dan berbanyak terima kasih kepada mereka yang memilih serta mencalonkan saya.

“Sama ada Matthew atau Quentin, mereka berdua telah melalui musim yang sangat baik bersama kelab masing-masing dan berpeluang untuk memenangi pertahanan terbaik.

“Secara keseluruhan sepanjang musim ini, saya rasa sangat dihargai oleh jurulatih (Bojan Hodak) yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk bermain sepanjang musim ini.

“Setelah berehat hampir dua tahun sebelum ke Kuala Lumpur, saya rasa semakin bermotivasi dan impian saya hanya mahu bermain sebanyak mungkin pada musim yang akan mendatang,” katanya.

Pemenang bagi ABK21 akan diketahui hari ini di mana 16 kategori dipertandingkan seperti Pertahanan Terbaik, Penjaga Gol Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pasukan Terbaik dan Fan XI.

Majlis ABK21 akan disiarkan secara langsung menerusi unifiTV dan Youtube unifi jam 9 malam.