UNIFI LIGA SUPER MALAYIA 2018 | FAJER IBRAHIM YAKIN AKAN PERKEMBANGAN PEMAIN MUDA

May 8, 2018



Ketua Jurulatih Kelantan Fajer Ibrahim menzahirkan rasa gembira selepas berjaya meraih 3 mata berharga dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur yang berkesudahan 4-2 di Kota Bharu pada Sabtu.

Bekas jurulatih kebangsaan Syria itu menggapai kemenangan pertamanya sejak dilantik sebagai ketua jurulatih 'The Red Warriors' selepas hasil jaringan Shafiq Shaharudin, Nik Azli Nik Alias dan Nik Akif Syahiran Nik Mat sudah cukup untuk membenam cabaran 'The City Boys'.

Bagaimanapun, Fajer Ibrahim tidak mahu anak buahnya terlalu leka dengan kemenangan ke atas Kuala Lumpur kerana Kelantan seterusnya bakal melayan kunjungan PKNP FC di Kota Bharu dalam saingan unifi Liga Super Malaysia 2018 pada hari Jumaat.

""

"Kami perlu mengekalkan keputusan positif ini", kata Fajer.

"Kami perlu bermain sepertimana perlawanan menentang Kuala Lumpur untuk baki musim ini kerana tempo dan keyakinan kita ketika mengawal permainan menjadi kunci utama bagi meraih 3 mata."

Fajer Ibrahim gembira dengan prestasi pemain-pemain import (Cassio de Jesus, Do Dong-hyun dan Mohamad Ghaddar) musim ini serta turut berpuas hati dengan kemampuan ditampilkan pemain muda skuad ini.

"Saya gembira dengan pemain import pasukan ini dan kualiti mampu ditingkatkan dengan cara memasukkan dua lagi pemain import bagi menyeimbangkan skuad ini. Kami perlu menilai pasukan ini dan memastikan posisi mana yang perlu diperkuatkan bagi mengharungi babak kedua musim ini."

""

Jurulatih berdarah Syria itu membariskan lima pemain berumur 21 dan ke bawah ketika menentang Kuala Lumpur dan terpukau dengan aksi dipamerkan seorang pemain tengah berumur 19 tahun.

"Saya gembira dengan Nik Akif kerana dia mempunyai bakat, tetapi perjalanan masih panjang kerana dia baru 19 tahun," katanya.

Jurulatih berumur 54 tahun itu juga percaya kesemua pasukan di Malaysia seharusnya mengambil langkah untuk membariskan pemain muda kerana ia mampu membantu pasukan kebangsaan pada masa depan.