TIGA PERLAWANAN PERSAHABATAN MENANTI TERENGGANU FC

October 13, 2021



Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain mengesahkan pasukannya akan mengadakan perlawanan persahabatan berdepan Kelantan United FC dan Kelantan FC sebagai persediaan untuk perlawanan ketiga TM Piala Malaysia.

Juara Piala Malaysia 2001 ini akan menentang Kelantan United terlebih dahulu pada 17 Oktober sebelum mereka ke Kota Bharu pada 22 dan 23 Oktober untuk sekali lagi berdepan lawan sama dan juga Kelantan FC.

Bagi Nafuzi, tiga perlawanan persahabatan yang diadakan ini sangat penting untuk beliau melakukan penilaian terakhir sebelum saingan TM Piala Malaysia kembali bersambung pada 29 Oktober ini.

Walaupun tiga tonggak utama iaitu Arif Fadzilah, Faisal Abdul Halim dan Hakimi Abdullah tidak akan terlibat dalam perlawanan tersebut kerana masih menjalani kuarantin selepas pulang dari Jordan, Nafuzi percaya mereka tahu tanggungjawab masing-masing bagi memastikan kecergasan di tahap terbaik untuk diturunkan dalam aksi seterusnya nanti.

“Tiga perlawanan persahabatan ini memang cukup untuk kami, tidak perlu pergi ke venue jauh pun dan lawan dengan dua pasukan iaitu Kelantan United dan Kelantan FC sudah memadai untuk saya tengok prestasi barisan pemain, dekat mana lagi yang perlu diperbaiki sebelum saingan bersambung.

“Kalau untuk tiga pemain yang sedang kuarantin, saya tidak risau sangat pun dengan mereka sebab saya tahu mereka mampu jaga diri masing-masing dan tidak akan mengabaikan kecergasan, bahkan mereka boleh lagi berlatih dengan pemain-pemain lain yang turut sama kuarantin.

“Jadi, untuk pemain lain, memang perlawanan persahabatan ini sahaja cara terbaik untuk mereka dapat momentum perlawanan di padang dan nak dapatkan balik kombinasi terbaik antara satu sama lain sebab dah lama sangat berehat”, jelasnya.

Dalam pada itu, Nafuzi menegaskan dua kemenangan yang diraih dalam Kumpulan B TM Piala Malaysia sebelum ini masih belum menjamin kedudukan mereka dan tidak mahu situasi sama di pentas Liga Super berulang apabila gagal meraih kemenangan dalam empat perlawanan terakhir.

Jelasnya, apa sahaja boleh berlaku dalam baki empat lagi perlawanan di peringkat kumpulan untuk menghalang misi pasukan layak ke pentas suku akhir.

“Sebenarnya kita dah nampak pasukan di landasan yang betul selepas menang dua perlawanan tempoh hari, cuma empat perlawanan lagi macam-macam boleh jadi kalau kita tidak fokus.

“Harap perjalanan kami akan sentiasa lurus dan tiada halangan apa-apa untuk menuju ke suku akhir sebab sebelum ini bila dah di penghujung liga, kita banyak kehilangan mata.

“Jadi, kali ini saya tidak mahu benda sama berlaku lagi dan tidak boleh kehilangan mata pada saat-saat akhir”, tambahnya.

Kali terakhir Terengganu merangkul trofi Piala Malaysia adalah pada tahun 2001 dan kali terakhir beraksi di pentas final pula pada musim 2018 untuk bergelar naib juara selepas tewas kepada pasukan Perak.