SKUAD PROJEK FAM-MSN SEDIA SAHUT CABARAN

February 20, 2021



Skuad Projek FAM-MSN merupakan pasukan baharu yang ditubuhkan hasil kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai mencipta laluan kerjaya produk Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD), dalam memudahkan mereka melakukan transisi ke pentas senior.

Dilatih bekas pengendali Kelantan, Kuala Lumpur dan Felcra FC, Yusri Che Lah sambil dibantu Noor Zaidi Rohmat sebagai penolong jurulatih, manakala Hamsani Ahmad bertindak selaku jurulatih penjaga gol.

Mendaftarkan 28 pemain di dalam skuad ini, hanya enam sahaja pemain memiliki pengalaman beraksi di Piala Belia iaitu kejohanan Bawah 19 tahun di bawah seliaan FAM dan situasi itu bakal berikan cabaran besar buat Yusri memastikan pemain-pemain cepat matang menghadapi bahang saingan Liga Premier.

Menurut Yusri, harapannya mahu melihat seberapa ramai pemain ini dapat diserapkan ke dalam skuad Sukan SEA pada tahun ini selain menjadi platform buat bakat-bakat muda ini mencipta nama bagi melakar masa depan yang lebih gemilang.

“Saya mahu pemain-pemain dapat seberapa pantas dapat menyesuaikan diri dengan saingan Liga Premier kerana masa tidak boleh menunggu mereka.

“Pemain dari hari ini perlu menanamkan mentaliti untuk menang dalam tiap perlawanan yang mereka akan harungi biarpun tiada sasaran tertentu diletakkan.

“Tanpa pemain import dan cetek daripada segi pengalaman, itu bukan alasan buat mereka untuk berikan cabaran kepada pasukan lain, dan saya optimis mereka mampu berikan saingan, ” katanya.

Penyerang berusia 18 tahun serta merupakan produk AMD, Azhad Arraz Arman yang berasal dari Semporna, Sabah dijangka akan jadi taruhan Skuad Projek FAM-MSN.