SELANGOR FC, PJ CITY FC, UITM FC, NEGERI SEMBILAN FC DAN SKUAD PROJEK FAM-MSN KEMBALI KE VENUE ASAL

July 21, 2021



Malaysian Football League (MFL) mengesahkan bahawa kelab Liga Super, PJ City FC dan Selangor FC dibenarkan untuk kembali beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya manakala UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

Keputusan pindaan ini dibuat setelah Kerajaan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, dua pasukan Liga Premier iaitu Negeri Sembilan FC dan Skuad Projek FAM-MSN juga dibenarkan kembali beraksi di venue asal masing-masing iaitu Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan Stadium UiTM, Shah Alam.

“Berdasarkan perkembangan terkini yang diumumkan oleh pihak kerajaan, pasukan-pasukan yang sebelum ini berada di kawasan PKPD kini dibenarkan untuk menggunakan venue masing-masing selepas PKPD ditamatkan termasuk daerah Seremban petang ini untuk membolehkan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi digunakan pasukan Negeri Sembilan FC.

“Ini sudah pasti berita yang menggembirakan buat pasukan terbabit memandangkan sebelum ini mereka tidak dibenarkan beraksi di venue dalam kawasan PKPD dan diminta mencari venue lain.

“Dengan keputusan terbaharu ini, saya percaya ia akan memudahkan pasukan-pasukan dalam membuat persediaan menjelang Liga Malaysia yang bakal bersambung pada 24 Julai ini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Menerusi pindaan terbaharu itu turut menyaksikan, perlawanan di antara UiTM FC melawan Perak FC yang sebelum ini dijadualkan pada Ahad, 8 Ogos 2021 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung dipinda pada 7 Ogos 2021 di Stadium UiTM, Shah Alam jam 9 malam.

Dalam pada itu, berkenaan dengan SOP Fasa 2 Bagi Seluruh Negeri Sabah yang berkuatkuasa 10 Julai lalu di mana kuarantin selama 14 hari dikenakan kepada individu yang ingin memasuki negeri itu, Dato’ Ab Ghani menjelaskan, pihaknya sudah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kebenaran khas kepada pasukan-pasukan Liga Malaysia.

“Kami berharap, permohonan bagi mendapatkan kebenaran khas daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah akan diluluskan. Ini bagi memudahkan kemasukan pasukan-pasukan Liga Malaysia yang berada dalam Gelembung Sukan ini memasuki Sabah tanpa menjalani kuarantin dalam tempoh lama.

“MFL ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak kerajaan dan pihak berkuasa negeri yang sememangnya banyak membantu pasukan-pasukan Liga Malaysia. Tidak lupa kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak yang membenarkan pasukan Sarawak United FC dan Kuching City FC berlatih secara fizikal serta akan beraksi di Stadium Negeri, Kuching buat kali pertama musim ini

“Diharap Liga Malaysia yang akan bersambung semula 24 Julai ini akan berjalan lancar dengan semua pemain dan pegawai yang terlibat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikhaskan bagi melindungi Gelembung Sukan Liga Malaysia daripada berlakunya penularan wabak COVID-19,” kata Dato’ Ab Ghani.

Klik untuk muat turun jadual terkini Liga Super 2021 dan Liga Premier 2021.