SELANGOR FC BERSEDIA UNTUK SEPAK MULA

March 3, 2021



Persiapan Selangor FC pada musim ini tampak lebih garang selepas melakukan rombakan pasukan dengan kehadiran ramai pemain-pemain baharu berpotensi besar di mana salah satunya yang pernah menjadi bualan hangat adalah Penjaring Terbanyak Liga Super 2020, Shahrel Fikri Fauzi yang mengambil keputusan untuk berhijrah daripada Perak FC.

Skuad ini terlebih dahulu melakukan perubahan dengan mengikat ketua jurulatih dari Jerman, Karsten Neitzel yang diberi kepercayaan untuk membawa ideologi baharu dalam skuad The Red Giants pada musim ini.

Bagi pemain tempatan, nama-nama seperti Shahrel, R. Dinesh dan Nik Sharif Haseefy Lazim yang dipancing untuk beraksi bersama Selangor FC kali ini dijangka dapat menghadirkan kelainan bagi memantapkan lagi pasukan Juara Piala Malaysia 33 kali ini.

Pemain import pula menyaksikan kehadiran tiga pemain baharu iaitu Tim Heubach, Oliver Buff dan Manuel Konrad yang dilihat menepati kemahuan Neitzel bagi merancang formula terbaik untuk membentuk pasukan yang lebih mantap.

Dua lagi pemain import, Ifedayo Omosuyi yang merupakan pemenang Kasut Emas 2020 dan pemain kelahiran Singapura, Safuwan Baharudin kekal untuk terus bersaing bersama pasukan yang menamatkan saingan Liga Super 2020 di tangga kelima.

Terbaharu, apa yang menjadi tumpuan adalah apabila pemain tengah, Brendan Gan diberi kepercayaan menjadi ketua pasukan pada musim ini di mana Taylor Regan dilantik sebagai kapten pada musim lalu.

Nyata, pemilihan Brendan dilihat pilihan yang tepat yang menyaksikan karakter bekas pemain Perak itu di atas padang sememangnya menepati watak selaku kapten yang mampu menyuntik semangat kepada rakan sepasukan dalam apa jua situasi.

Dalam pada itu, Neitzel menyifatkan pasukan perlu memastikan tiga perkara utama dalam latihan dapat dilakukan dengan teliti untuk memantapkan kualiti skuad ini untuk bersedia dalam perlawanan pertama mereka, Sabtu ini.

Ia membabitkan tahap kualiti fizikal pemain, kualiti taktikal secara individu, dan kualiti taktikal keseluruhan pasukan yang mana kesemua perkara ini sudah berada di landasan yang betul.

“Kami harus tahu membezakan dan menilai tiga perkara yang diberitahu itu agar ia berada di laluan yang betul di mana usaha itu telah kami lakukan dalam 12 hari yang lalu.

“Semua pemain secara taktikal berada pada tahap yang cukup baik dan kita harus meningkat tahap kualiti fizikal pemain-pemain di mana tiga perlawanan persahabatan yang telah diharungi benar-benar membantu perkembangan pasukan.

“Kami tidak akan berhenti untuk terus berusaha dan secara keseluruhan, untuk dua minggu terakhir ini, semuanya berjalan dengan lancar dan sekarang hanya perlu menambahkan beberapa peratusan di semua kawasan untuk bersedia aksi pada Sabtu ini”, jelasnya.

Selangor FC akan menerima kunjungan Sri Pahang FC untuk aksi pertama mereka dalam saingan Liga Super 2021 yang akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 6 Mac ini.