SABAH BURU SEMBILAN MATA DI LIKAS

April 30, 2021



Tiga perlawanan berturut-turut di laman sendiri berdepan Perak FC, Melaka United FC dan Kedah Darul Aman FC mahu digunakan sepenuhnya oleh Sabah FC untuk memburu kedudukan enam teratas di Liga Super.

Ketua jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto yang semakin berpuas hati melihat peningkatan dipamerkan selepas tidak tewas dalam tiga perlawanan terakhir, mengharapkan semua pemainnya agar tidak cepat berasa selesa.

Menurut beliau, mereka perlu terus bekerja keras dalam tiap perlawanan sambil memberikan peringatan, tiada sesiapa dalam pasukan terjamin tempat dalam kesebelasan utama.

“Saya rasa ini peluang buat Sabah tampil dengan lebih bersemangat kerana bermain di hadapan penyokong sendiri dan harap kami sudah tekad untuk pergunakan kesempatan ini sebaiknya bagi meraih mata penting.

“Namun, jangan mudah terlalu yakin dan saya mahu mereka semua sentiasa bekerja keras serta kekalkan fokus dalam perlawanan yang kita lalui, bermula dengan Perak, Ahad ini.

“Aksi dengan Perak dan Melaka United antara dua perlawanan yang kami kena cuba menang kerana kedua-dua pasukan sedang berada dalam kedudukan yang sangat rapat antara satu sama lain selain cuba bersaing dengan Kedah,” katanya.

Sabah FC dan Perak FC akan berentap pada Ahad ini selain satu lagi perlawanan yang berlangsung di hari yang sama ialah perlawanan membabitkan PJ City FC dan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada jam 10.00 malam.

Anak-anak buah Kurniawan sebelum ini berjaya mengikat Selangor FC, 2-2 di Stadium MBPJ serta Penang FC, 1-1 di Stadium Bandaraya selain membenam UiTM FC, 4-0 di Stadium Likas.

Menduduki tempat kesembilan Liga Super dengan 10 mata, Sabah FC hanya satu mata mengatasi Perak selain dipisahkan dengan perbezaan jaringan yang meletakkan Melaka di tempat kelapan.

Dalam pada itu, Kurniawan mengharapkan semua peminat Sabah agar dapat memberikan ruang kepada penyerang import dari Liberia, Sam Johnson, yang dikatakan gagal memperagakan prestasi terbaik apabila sekadar meledak dua jaringan setakat ini.

Kritikan itu datang selepas dia tidak dapat memberikan impak dalam beberapa perlawanan seperti bertemu Selangor yang menyaksikan Johnson tidak berupaya memberikan cabaran kepada pertahanan lawan.

“Dia sebenarnya seorang pemain yang bagus berdasarkan penilaian kami, cuma kali ini nampak dia seperti kurang lasak tetapi daripada segi taktikal, dia telah mengikut apa yang kita harapkan.

“Sam boleh menarik dua pemain pertahanan untuk berada berhampirannya serta mengawal bola, situasi ini banyak membuka ruang kepada pemain lain dalam melakukan percubaan.

“Saya faham apa diperkatakan oleh penyokong Sabah dan terima kasih atas keprihatinan mereka tetapi dia masih mampu memberikan sumbangan kepada pasukan,” katanya.