PINDAAN KALENDAR MFL DAN JADUAL LIGA MALAYSIA 2021

April 5, 2021



Malaysian Football League (MFL) mengumumkan terdapat pindaan kalendar Liga Malaysia musim 2021 bermula 23 April 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, keputusan itu dibuat menerusi kelulusan Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas mengambilkira permohonan pasukan kebangsaan untuk mengadakan kem latihan pusat bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 serta pindaan jadual Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC.

Jelas Dato’ Ab Ghani, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah mengumumkan tarikh baharu bagi saingan AFC ACL (East) yang melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di mana dipinda tarikh asal 21 April sehingga 7 Mei 2021 kepada 21 Jun sehingga 7 Julai 2021.

Katanya lagi, pengurusan pasukan kebangsaan telah memohon tarikh latihan pusat bermula pada 16 Mei 2021 sebagai persiapan awal bagi menghadapi Pusingan Kelayakan Piala Dunia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 31 Mei sehingga 15 Jun 2021 yang turut menjadi antara salah satu faktor keputusan pindaan jadual Liga Malaysia 2021 dilakukan.

Sebagai rekod, JDT yang diundi di dalam Kumpulan G bersama Nagoya Grampus (Jepun), FC Pohang Steelers (Korea Selatan) & Ratchaburi FC (Thailand) dijadualkan akan bermain secara berpusat di Thailand.

“MFL selepas mengadakan mesyuarat atas talian bersama kesemua CEO-CEO dan wakil kelab pada hari ini telah memaklumkan tentang perubahan yang berlaku dalam kalendar Liga Malaysia bermula 23 April 2021.

“Jika berdasarkan jadual sebelum ini, pasukan Liga Super hanya bermain dua perlawanan dan pasukan Liga Premier bermain tiga perlawanan sepanjang bulan Ramadan.

“Namun disebabkan perubahan berlaku membabitkan pertukaran jadual asal ACL serta permohonan daripada pasukan kebangsaan, kita terpaksa meminda jadual yang menyaksikan pasukan Liga Super akan bermain lima perlawanan sementara pasukan Liga Premier akan bermain empat perlawanan sepanjang bulan Ramadan.

“Ini kerana MFL telah mengambil kira berkenaan Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 yang melibatkan Pasukan Kebangsaan bermula 31 Mei sehingga 15 Jun 2021.

“Selain daripada kejohanan ACL, tumpuan juga harus diberikan kepada wakil negara seperti Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC yang akan bermain kejohanan AFC secara berpusat di Singapura pada 22 sehingga 28 Jun 2021.

“Pindaan tarikh turut dibuat kepada perlawanan Liga Premier bagi memberi peluang kepada persiapan pasukan kebangsaan untuk menghadapi Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 pada bulan Jun di mana pemain daripada Liga Premier turut akan terpilih ke pasukan kebangsaan nanti,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Dalam masa yang sama, Dato’ Ab Ghani memberitahu pindaan Tarikh Tempoh Pendaftaran Kedua Liga Malaysia 2021 juga terpaksa dilakukan selepas menyaksikan perubahan terbaharu kalendar Liga Malaysia 2021.

“Pindaan jadual akan menyebabkan pergerakan tarikh-tarikh perlawanan Liga Super dan Liga Premier dan memberikan kesan kepada tempoh pendaftaran kedua pemain.

“Saingan Liga Super bakal tamat 14 Ogos 2021 manakala Liga Premier dijangka tamat pada 8 Ogos 2021 dan undian Piala Malaysia akan diadakan sebelum tamat liga dengan menggunakan nombor kedudukan liga bagi menentukan kedudukan posisi kelab dalam kumpulan untuk Piala Malaysia dan Challenge Cup.

“Justeru tarikh baharu bagi tempoh pendafaran kedua pemain adalah bermula 3 Mei sehingga 30 Mei 2021 di mana tarikh asalnya adalah 5 Julai sehingga 1 Ogos 2021,” ujarnya.