PENYOKONG PUAS TONTON PERLAWANAN DI STADIUM

April 4, 2021



Penyokong Liga Malaysia mengganggap bukan masalah untuk mereka terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) selepas ini apabila telah melihat sendiri kelancaran proses saringan penonton di pintu masuk stadium ketika aksi Liga Super antara Kuala Lumpur City FC dan Sabah FC semalam.

Penyokong yang hadir ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur semalam melahirkan rasa teruja untuk menyaksikan perlawanan secara langsung di stadium selepas lebih setahun tidak dibenarkan datang susulan penularan wabak COVID-19.

Salah seorang penyokong Kuala Lumpur, Ainul Hazeem Ainuddin menyifatkan SOP ketat yang perlu dipatuhi itu langsung tidak menjadi beban untuknya kerana apa yang lebih penting adalah penyokong dapat menyaksikan perlawanan dalam keadaan yang terkawal dan selamat.

Justeru, apabila melihat sendiri suasana di pintu masuk stadium yang terkawal, dia percaya penyokong-penyokong lain tidak berdepan masalah untuk terus memberi kerjasama dengan baik bagi aksi-aksi akan datang selepas ini bermula daripada sebelum sehingga tamat perlawanan.

“Semestinya saya rasa teruja sebab selepas lebih 12 bulan kita tak dapat ke stadium dan sekarang, ini kali pertama kita dapat juga jejak kaki di sini.

“Yang penting adalah bagaimana kita perlu ikut segala SOP yang telah ditetapkan untuk memastikan kita dapat memutuskan rantaian COVID-19 ini.

“Dan bukan saya sahaja, penyokong-penyokong lain juga perlu ikut sama patuhi SOP dan macam saya, saya pun bawa sejadah sendiri sebab nak memudahkan untuk solat nanti”, jelasnya.

Bagi penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhamad Nurhamizan Md Amin pula, harapannya adalah suasana keghairahan di stadium seperti ini akan terus kekal sehingga tamat musim selepas hadir ke stadium buat kali pertama menyaksikan perlawanan JDT menentang Melaka United FC, Jumaat lalu.

Perlawanan yang menjadi projek perintis kemasukan penonton itu nyata mendapat reaksi positif daripada semua pihak termasuklah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Biarpun terpaksa melalui pelbagai SOP, tetapi sebagai penyokong kami boleh mengikutinya asalkan yang penting, kami berpeluang untuk hadir menonton perlawanan.

“Beberapa SOP seperti datang awal, masuk awal dan memastikan penjarakan fizikal ketika perlawanan berlangsung tidak jadi masalah buat kami dan saya harap peluang ini boleh diteruskan lagi dan kekal”, katanya.

Berdasarkan perkembangan positif menerusi pemantauan perlawanan projek perintis ini, kesemua aksi Liga Super dan Liga Premier telah dibenarkan untuk menerima kehadiran penonton.

Tetapi, ia masih tertakluk kepada kelulusan Malaysian Football League (MFL) di mana setiap pasukan perlu menghantar dokumen kebenaran kemasukan penonton terlebih dahulu.