PEMAIN DAN PEGAWAI LIGA MALAYSIA DISARAN TERUS PATUH SOP GELEMBUNG SUKAN SEPANJANG LIGA MALAYSIA BEREHAT

May 11, 2021



Malaysian Football League (MFL) menyarankan kepada pasukan-pasukan Liga Malaysia agar terus komited mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) gelembung sukan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, pihaknya sentiasa mengambil berat dengan pematuhan SOP pasukan-pasukan yang bertanding bagi membendung berlaku sebarang kluster wabak COVID-19 sepanjang penganjuran Liga Malaysia bagi musim 2021.

Jelas lagi Dato’ Ab Ghani, beliau menuntut pasukan khususnya pemain serta pegawai akan terus mematuhi SOP gelembung sukan yang ditetapkan selepas Liga Super berhenti seketika bermula 10 Mei 2021 sehingga 8 Julai 2021 manakala Liga Premier pula berehat bermula 9 Mei 2021 sehingga 17 Jun 2021.

“Suka diingatkan bahawa pegawai dan pemain pasukan hendaklah mematuhi SOP dan Protokol Am Individu yang telah digariskan oleh Kerajaan Malaysia sepanjang tempoh rehat Liga Malaysia 2021 bagi menjaga keselamatan dan kesihatan semua pihak.

“Apa yang pasti pegawai dan pemain pasukan hendaklah menjalani Ujian Calitan PCR sebelum mengadakan latihan pertama selepas tempoh rehat iaitu perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Saya menyeru kepada kesemua yang terlibat dalam industri bola sepak agar sentiasa kekal berdisiplin mematuhi SOP-SOP yang telah ditetapkan.

“Ini kerana MFL mahu memastikan perjalanan Liga Malaysia musim 2021 kekal berjalan mengikut jadual di mana SOP gelembung sukan haruslah dijaga rapi oleh semua pihak bola sepak negara,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Dalam masa yang sama, Dato’ Ab Ghani mengingatkan kesemua pasukan diwajibkan menjalani Ujian RTK Antigen sebelum atau pada hari perlawanan pertama setelah tamat tempoh rehat.

“Untuk makluman juga, gelembung sukan MFL yang dibuat sepanjang penganjuran Liga Malaysia sebelum ini secara automatik akan ‘pecah’ apabila pemain serta pegawai dibenarkan bercuti atau menyertai tugasan pasukan kebangsaan.

“Justeru mereka dikehendaki wajib membuat semula saringan atau Ujian RTK Antigen bagi memastikan mereka semua bebas daripada sebarang gelaja COVID-19.

“MFL juga telah mengingatkan kelab dan pihak pengurusan berhubung perkara Ini melalui pekeliling rasmi pada 4 Mei 2021.

“Liga Malaysia telah diberikan kepercayaan tinggi daripada pihak kerajaan untuk diteruskan sebagaimana kita telah memastikan Liga Malaysia musim 2020 bebas daripada sebarang kluster COVID-19. Justeru saya berharap pasukan akan terus teguh menjaga kepentingan gelembung sukan ini daripada sebarang insiden yang tidak diingini,” ujarnya.