PASUKAN LIGA MALAYSIA DIBENARKAN MENERUSKAN LATIHAN DALAM TEMPOH ‘TOTAL LOCKDOWN’.

May 31, 2021



Malaysian Football League (MFL) hari ini memaklumkan bahawa pasukan Liga Malaysia telah mendapat kebenaran daripada pihak kerajaan untuk meneruskan latihan secara Camp-Based Training dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021.

Latihan secara Camp-Based Training itu bagaimanapun perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat ketika pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari seperti yang diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan media pada 28 Mei 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, pihaknya mengucapkan penghargaan terima kasih di atas keprihatinan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengekalkan kelulusan yang telah diberikan kepada pasukan-pasukan Liga Malaysia meneruskan latihan ketika ‘total lockdown’ fasa pertama ini.

“MFL selaku pentadbir Liga Malaysia ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak kerajaan untuk memberikan kebenaran kepada pasukan-pasukan Liga Malaysia meneruskan latihan secara Camp-Based Training yang saya percaya akan memberikan kelegaan buat pasukan-pasukan dalam membuat persiapan sebelum Liga Malaysia kembali bersambung pada bulan Julai disebabkan penglibatan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Terengganu FC (TFC) dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC selain penglibatan pemain-pemain yang bersama pasukan kebangsaan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Selain daripada itu, MFL turut mengambil kira kuarantin selama 14 hari yang perlu dijalankan oleh pasukan yang terlibat apabila kembali ke ibu negara.

“Bukan itu sahaja, ia pasti banyak membantu pasukan khususnya JDT yang turut akan mengharungi kejohanan (ACL) bermula 21 Jun 2021 manakala KDA dan TFC (Piala AFC) pada 22 Jun 2021.

“Walau bagaimanapun, demi keselamatan serta kesihatan pegawai dan pemain, hanya latihan pasukan berpusat sahaja dibenarkan bagi fasa pertama PKP ini. Lain-lain aktiviti seperti perlawanan persahabatan atau apa-apa aktiviti merentas daerah atau negeri adalah tidak dibenarkan sama sekali sehingga diputuskan berlainan kelak.

“Sehubungan dengan itu, MFL menggesa semua pasukan memberi kerjasama yang baik agar mematuhi SOP yang dikuatkuasakan serta memberi kerjasama kepada Agensi-agensi Kerajaan dan Komisioner Perlawanan yang dilantik MFL yang ditugaskan untuk memantau pelaksanaan SOP di peringkat pasukan.

“Sebarang kecuaian atau pelanggaran SOP akan mengakibatkan pasukan boleh akan dikenakan tindakan oleh MFL atau Kerajaan Malaysia di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ab Ghani, pemakluman terkini berhubung PKP akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada semua pasukan selaras dengan arahan Kerajaan Malaysia.

Setakat hari ini, empat pasukan Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim, Kedah Darul Aman FC, Terengganu FC dan UiTM FC serta Terengganu FC II dan PDRM FC daripada Liga Premier sudah mendapat kelulusan MFL untuk mengadakan latihan Camp-Based Training.