NEGERI SEMBILAN, PDRM BELUM FIKIRKAN TM PIALA MALAYSIA

September 17, 2021



Pasukan-pasukan dari Liga Premier enggan memikirkan tentang cabaran serta peluang untuk berentap di saingan TM Piala Malaysia kerana fokus utama mereka adalah terhadap baki saingan perlawanan liga yang akan dihadapi Selasa depan.

Ketika Negeri Sembilan FC dan Sarawak United FC yang sudah mengesahkan slot ke TM Piala Malaysia, empat pasukan lain seperti PDRM FC, Kuching City FC, Kelantan FC dan Kelantan United FC masih memburu dari baki tiga daripada lima slot yang ditawarkan untuk Liga Premier.

Bagi ketua pasukan Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha Abd. Radzak berkata, dia dan rakan-rakan sepasukan buat masa ini hanya berikan tumpuan kepada aksi terakhir bertemu PDRM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi yang akan menjadi penentu kepada kejuaraan Liga Premier.

Selepas 21 September ini, barulah dia dan rakan sepasukan akan melihat sejauh mana peluang Negeri Sembilan dengan tidak kisah sama ada mereka diletakkan di Kumpulan A (posisi kedua Liga Premier) atau Kumpulan C (posisi pertama Liga Premier).

Memandangkan sasaran utama layak ke Liga Super untuk musim depan sudah dipenuhi, Negeri Sembilan menganggap peluang di TM Piala Malaysia adalah sebagai satu penghormatan.

“Buat masa ini fokus kami adalah mengenai kejuaraan Liga Premier kerana kami akan menghadapi satu perlawanan penting pada Selasa depan bertemu PDRM, selepas itu barulah kami akan melihat cabaran di Piala Malaysia.

“Mana-mana sahaja kumpulan kami akan diletakkan, Negeri Sembilan akan beri saingan sebaik mungkin kerana peluang bersaing di Piala Malaysia adalah satu penghormatan terbesar buat mana-mana pasukan.

“Sama ada kami dalam kumpulan dengan Penang FC atau Kedah Darul Aman FC, tidak jadi masalah kerana kita memang tahu kualiti yang ada pada pasukan Liga Super tetapi kita akan cuba bersaing.

“Mana-mana pasukan Liga Super bagi saya kekuatan mereka adalah sama, tiada istilah pasukan ini kuat, pasukan itu tidak kuat kerana Piala Malaysia adalah satu pertandingan yang berada di platform berbeza,” katanya.

Dalam Kumpulan A, Penang FC yang diletakkan selaku pasukan pilihan diundi bersama Kuala Lumpur City FC, Sri Pahang FC selain pasukan kedua terbaik di Liga Premier.

Bagi Kumpulan C, setakat ini hanya dua pasukan telah diketahui akan berada dalam kumpulan tersebut iaitu Kedah Darul Aman FC dan Melaka United FC dengan dua slot menjadi milik posisi pertama dan kelima Liga Premier.

Ketua jurulatih PDRM FC, Wan Rohaimi Wan Ismail, masih belum mahu memikirkan siapakah pencabar mereka di TM Piala Malaysia kerana keutamaannya adalah perlawanan berdepan Negeri Sembilan.

Mereka perlu menang bagi berada dalam posisi ketiga hingga kelima Liga Premier yang sekarang ini sedang disaing hebat Kuching City, Kelantan dan Kelantan United.

Namun jika layak, Wan Rohaimi tidak kisah ditempatkan di mana-mana kumpulan di mana beliau mengakui PDRM tidak mahu sekadar menjadi pasukan pelengkap dan sedia berikan cabaran dengan cuba melangkah jauh di TM Piala Malaysia.

“Keutamaan pada saya adalah untuk layak dahulu dengan cuba mendapatkan keputusan positif berdepan Negeri Sembilan, selepas itu terpulang untuk duduk di kumpulan mana, sama ada Kumpulan B, C atau D.

“Walaupun sedar pasukan saya underdog, saya sudah tegaskan kepada pemain yang kita bukan masuk sekadar sertai pertandingan atau melengkapkan jadual.

“Saya mahu pastikan penyertaan PDRM dapat berikan kesan serta mampu mencabar pasukan-pasukan lebih besar dan kami mahu layak sekurang-kurangnya ke suku akhir,” katanya.