MISI WAJIB MENANG KEDAH UNTUK REBUT GELARAN NAIB JUARA

September 9, 2021



Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak menyifatkan satu mata yang diraih sangat berharga untuk kembali merampas kedudukan kedua Liga Super meskipun hampir tewas di tangan UiTM FC dalam aksi tertunda, semalam.

Menurut Aidil, anak buahnya telah bekerja keras dalam usaha untuk memastikan pasukan tidak kehilangan mata terutamanya dalam tempoh 20 minit terakhir untuk menambah dua lagi jaringan sekali gus menyaksikan keputusan seri 3-3.

Walaupun UiTM FC hampir menewaskan tuan rumah, jurulatih dari Singapura ini menganggap kebangkitan yang dipamerkan oleh barisan pemain wajar dipuji walaupun berada dalam tekanan selepas ketinggalan 3-1 pada separuh masa kedua.

Kini, apa yang penting adalah misi wajib menang dalam perlawanan terakhir menentang Melaka United FC pada Ahad ini bagi menentukan pasukan manakah yang bakal bergelar naib juara memandangkan Kedah ketika ini terikat jumlah pungutan mata yang sama dengan Penang FC.

“Tahniah kepada pemain-pemain saya yang tidak berputus asa dan satu mata memang sangat penting untuk kami, ianya lebih baik daripada kita pulang tanpa sebarang mata.

“Saya sedar dan faham apabila pemain bergelut untuk fokus sepanjang permainan apatah lagi beraksi untuk lapan perlawanan dalam satu bulan ini bukan mudah, tetapi saya hargai usaha mereka untuk bangkit.

“Sekarang kita kembali berada di nombor dua, dan Penang pula akan menentang Terengganu FC selepas ini, jadi kita dapat lihat salah satu pasukan itu akan kehilangan mata atau mungkin seri.

“Untuk kami, saya hanya lebih pentingkan aksi pasukan sendiri, tidak mengharapkan keputusan pasukan lain, dan kita kena beraksi seperti final pada Ahad ini untuk menang, katanya.

Dalam pada itu, pengendali UiTM FC, Mohd Reduan Abdullah pula menganggap barisan pemain telah melakukan tugas yang cukup baik walaupun pada saat pasukan kini di tangga tercorot liga untuk memberi tentangan sengit kepada Kedah.

“Pemain-pemain telah melakukan tugas yang baik walaupun tidak dapat mata yang penuh dan mereka sudah melakukan kesungguhan sepanjang perlawanan berlangsung.

“Kami cuba fikirkan apa yang kami perlu buat untuk memperbaiki pasukan dan sekarang semangat juang pemain yang menyatukan mereka untuk memberikan persembahan yang menyakinkan kali ini,” jelasnya.

Enam perlawanan terakhir Liga Super 2021 akan berlangsung serentak pada Ahad ini bagi perebutan naib juara untuk tiket beraksi di Piala AFC 2022 selain penentuan slot secara rasmi ke TM Piala Malaysia.

Johor Darul Ta’zim (JDT) pula sudah sah bergelar juara Liga Super dan meraih slot ke Kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 selepas pasukan lain gagal mengejar kedudukannya di puncak liga.