MISI BAHARU TERENGGANU FC

February 20, 2021



Terengganu FC (TFC) antara pasukan yang rancak melakukan rombakan besar skuad untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2021 termasuklah melepaskan kesemua lima import mereka pada musim ini.

Antara keputusan mengejutkan dilakukan pengendali Nafuzi Zain adalah melepaskan bekas kapten TFC, Lee Tuck selain tonggak penyerang mereka, Dominique Da Sylva juga tiada dalam perancangan musim ini meskipun telah berjaya membantu pasukan dengan ledakan sembilan gol daripada 10 perlawanan pada musim lalu.

Dan sudah pasti musim ini, TFC yang turut bakal bersaing dalam Piala AFC 2021 mengikat pemain import baharu termasuk bekas pemain kelab Aston Villa yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Christopher Herd dari Australia, kapten Namibia, Petrus Shitembi dan pemain kacukan Filipina-Sepanyol, Carli De Murga.

Menariknya, pemain kelahiran Mali, Makan Konate juga dilihat bakal menjadi perhatian dalam saingan tahun ini memandangkan namanya yang tidak asing lagi bagi peminat bola sepak di Terengganu menerusi penampilan sulung bersama T-Team FC pada tahun 2016 hingga 2017.

Bekas kapten pasukan Persebaya Surabaya dalam Liga Indonesia itu semestinya diharap dapat memberi impak besar bersama TFC terutamanya apabila turut bergandingan bersama seorang lagi rakan sepasukannya dalam kelab Persebaya Surabaya, David Da Silva.

“Setakat ini, segala persiapan TFC dalam keadaan yang terkawal dan berjalan dengan begitu baik di mana fokus utama ketika ini sudah pasti saya ingin lihat sejauh mana tahap keserasian pemain-pemain baharu yang ada ini bersama pasukan.

“Apa-apa pun, baik pemain baharu dan pemain yang memang sedia ada, saya percaya komitmen mereka akan membuahkan hasil yang positif dalam saingan Liga Malaysia musim ini dan saya yakin mereka juga sudah tidak sabar untuk mempertaruhkan aksi terbaik”, katanya.