MFL UMUM TIGA AHLI LEMBAGA PENGARAH BAHARU BAGI PENGGAL 2021-2025

August 11, 2021



Malaysian Football League (MFL) mengumumkan pelantikan tiga Ahli Lembaga Pengarah MFL baharu sebagai wakil pasukan bagi penggal 2021-2025 menerusi pemilihan dalam Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Ke-5 yang diadakan secara maya hari ini.

Satu daripada tiga pelantikan itu menerusi pemilihan oleh 22 Rakan Kongsi Liga merupakan individu baharu adalah Pengarah Eksekutif Melaka United FC, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri.

Manakala Pengarah Johor Darul Ta’zim (JDT), Datuk Mohamad Jaifuddin Bujang Mohidin yang sebelum ini memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk wakil bebas pada 2017 kini telah dipilih oleh Rakan Kongsi Liga sebagai Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi wakil pasukan.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif UiTM FC, Mustaza Ahmad pula meneruskan tugas bagi penggal kedua sebagai wakil pasukan dalam barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Pelantikan itu mengesahkan bagi penggal baharu dan mereka bertiga akan bersama-sama dengan Ahli Lembaga Pengarah MFL yang lain iaitu Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, Mohd Joehari Ayub dan Christopher Raj (wakil Persatuan Bolasepak Malaysia) serta Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar bertindak (wakil bebas).

Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin amat mengalu-alukan kedatangan tiga Ahli Lembaga Pengarah MFL yang dipilih dalam Mesyuarat Rakan Kongsi Liga bagi penggal baharu di mana beliau optimis kehadiran mereka akan dapat terus memberikan perubahan kepada Liga Malaysia pada masa akan datang.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat datang dan tahniah kepada Datuk Saiful, Datuk Jaifuddin dan Mustaza yang dipilih oleh Rakan Kongsi Liga menjadi Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi penggal 2021-2025.

“Sesungguhnya jawatan ini bukan boleh dipandang ringan di mana tanggungjawab dan komitmen tinggi dituntut dalam usaha membantu Liga Malaysia tetapi saya optimis bahawa mereka juga memiliki keupayaan untuk membantu MFL sebagaimana mereka sendiri dipilih oleh Rakan Kongsi Liga untuk menjadi Ahli Lembaga Pengarah MFL,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan lain, Datuk Haji Hamidin turut mendedahkan MFL telah meminda Perlembagaan MFL iaitu Klausa 16.3 (c) berkaitan penggal Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“Hari ini MFL bersama Rakan Kongsi Liga telah bersidang secara maya dan telah membincang pelbagai perlembagaan yang dipinda.

“Antara salah satu perlembagaan yang dibentangkan iaitu Klausa 16.3 (c) – Penggal Ahli Lembaga Pengarah di mana sekretariat mencadangkan pindaan kepada klausa penggal Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk menjelaskan bahawa sekiranya wakil kelab tidak lagi memegang jawatan Pengerusi atau Presiden, Ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif, atau Pengurus Besar Kelab, mereka akan secara automatik hilang jawatan mereka sebagai Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“Undian untuk jawatan kosong ini akan diadakan pada Mesyuarat Rakan Kongsi Liga yang berikut,” ujarnya.

Dalam mesyuarat itu juga, Datuk Haji Hamidin juga mengingatkan agar Ahli Lembaga Pengarah MFL supaya bersedia dengan perancangan lebih awal bagi Liga Malaysia 2022 yang dijangka lebih mencabar dalam tempoh pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir.

“Saya memaklumkan kepada semua Ahli Lembaga Pengarah MFL supaya bersedia dengan perancangan awal supaya kalendar Liga Malaysia tahun depan lebih lancar, sebab kita tidak tahu bila negara kita akan pulih sepenuhnya daripada COVID-19. Mungkin ia akan mengambil masa jadi MFL serta Rakan Kongsi Liga juga perlu membuat perancangan lebih baik dan meningkatkan kerjasama demi kelangsungan Liga Malaysia,” katanya.