MELAKA UNITED DIKENAKAN HUKUMAN PEMOTONGAN TIGA MATA LIGA SUPER 2021

March 19, 2021



Badan bebas, First Instance Body (FIB) hari ini mengumumkan bahawa Melaka United FC telah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata secara serta-merta bagi saingan Liga Super 2021 di atas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan mereka.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat FIB Pelesenan Kelab MFL yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara persidangan video bersama ahli-ahli jawatankuasa yang lain.

Dalam mesyuarat tersebut, tiga kes telah dibincangkan iaitu membabitkan pasukan Melaka United FC, Sarawak United FC dan Kelantan FC.

Berhubung kes membabitkan Melaka United FC, pasukan tersebut pada tarikh akhir pertama iaitu pada 31 Januari 2021 telah berjaya membuat pembayaran daripada tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut pelan jadual pembayaran.

Namun bagi pembayaran tarikh akhir kedua, Melaka United FC telah didapati gagal menghormati jadual pembayaran yang dipersetujui dan ditetapkan sekali gus dikenakan hukuman pemotongan tiga mata.

FIB berharap bahawa keputusan ini dijadikan teladan untuk memastikan Melaka United FC mematuhi jadual pembayaran yang ditetapkan pada masa akan datang.

Jika pasukan terbabit mengulangi kesalahan yang sama, perkara itu akan dibawa ke FIB untuk keputusan dan tindakan yang seterusnya.

Sementara itu, FIB mengambil maklum usaha dan komitmen Sarawak United FC dan Kelantan FC dalam menjelaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka.

Unit Pelesenan Kelab MFL akan terus memantau dan memastikan kedua-dua pasukan tersebut terus menunjukkan komitmen dalam menangani isu ini sehingga selesainya baki tunggakan berkenaan.