MAMPU KEKALKAN MOMENTUM PASUKAN BERMAIN PADA BULAN RAMADHAN – NOOR AZMAN

May 16, 2018



Kerancakkan Liga Malaysia 2018 tidak terhenti pada bulan Ramadhan ini. Setiap pasukan bakal mengharungi lima perlawanan bagi unifi Liga Super Malaysia 2018 manakala empat perlawanan berlangsung bagi pasukan dalam saingan 100PLUS Liga Premier Malaysia 2018.

Setiausaha Agung Melaka United Soccer Association (MUSA), Noor Azman Hj Rahman beranggapan perlawanan diteruskan pada bulan Ramadhan penting agar momentum pasukan dapat dikekalkan.

Mengulas lebih lanjut, Azman berkata momentum pasukan perlu dikekalkan agar dapat menyeimbangkan prestasi permainan mereka dalam baki perlawanan Liga Malaysia seterusnya dalam saingan Piala Malaysia bermula 3 Ogos nanti.

"Jika perlawanan dihentikan selama sebulan sudah tentu momentum pemain akan menurun secara mendadak," kata Noor Azman.

"Sekarang momentum pasukan seperti Melaka sendiri dalam keadaan baik jadi kami mahu kekalkan momentum tersebut agar prestasi di Liga Super mampu diterus ketika Piala Malaysia nanti.

Beliau juga berpendapat kepadatan jadual akan berlaku jika penangguhan perlawanan pada bulan Ramadhan dilaksanakan menyebabkan lebih banyak masalah buat pasukan-pasukan yang bersaing.

"Kami sedia maklum perancangan ini dan sependapat untuk kepadatan jadual dapat dielakkan, perlawanan perlu dilaksanakan dalam bulan puasa."

Melaka bakal berhadapan cabaran pasukan di kedudukan keempat unifi Liga Super, PKNS FC di Stadium Hang Jebat pada 23 Mei ini bagi memulakan perlawanan pertama mereka dalam bulan Ramadhan ini.